BERITA SEMASA

Hina, pijak Al-Quran: Pelajar UMPSA ditahan polis

KUANTAN – Polis menahan seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) awal pagi ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghina Islam menerusi media sosial.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek yang juga pelajar institusi berkenaan ditahan di sekitar daerah ini selepas pihak polis menerima maklumat berhubung kandungan tular yang mencetuskan kemarahan orang ramai.

Menurut beliau, tindakan pantas diambil susulan penularan gambar memaparkan kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran serta beberapa tangkap layar hantaran media sosial yang didakwa dibuat oleh individu berkenaan.

Tangkap layar petikan permohonan maaf yang dibuat pelajar berkenaan pada malam tadi selepas memuat naik kandungan menghina Islam dan memijak Al_Quran.

“Polis telah menahan penuntut yang disyaki terlibat dan siasatan lanjut sedang dijalankan. Permohonan reman akan dibuat hari ini bagi membolehkan siasatan diteruskan,” katanya memetik laporan BH Online.

Sejak semalam, turut tersebar gambar lelaki terbabit bersama tangkap layar komen dipercayai mengandungi penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW, sekali gus menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana perbuatan menghina agama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selain itu, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian untuk menyebarkan komunikasi bersifat jelik, menyakitkan hati atau mengganggu pihak lain.

Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun dan denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button