POLITIK

BN diminta hormati objektif penubuhan Kerajaan Perpaduan – Tze Zin

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan diharap menghormati objektif penubuhan Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik di negeri itu

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sim Tze Tzin menegaskan, Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat dan negeri ditubuhkan susulan tiada gabungan politik menguasai majoriti, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), lapor BERNAMA.

“Persetujuan Kerajaan Perpaduan adalah mewujudkan kerajaan stabil sehingga tamat penggal.

“Semoga BN Negeri Sembilan menghormati perjanjian tersebut sehingga tamat penggal. Kestabilan dan kesejahteraan rakyat harus diutamakan,” kata Ahli Parlimen Bayan Baru itu dalam hantaran di Instagram, hari ini.

Terdahulu, semua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Negeri Sembilan dari UMNO sebulat suara menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, susulan kemelut pemerintahan yang berlaku.

Pengerusi BN dan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pemakluman rasmi berhubung perkara itu akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Setiausaha DUN, hari ini.

Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN membentuk kerajaan di Negeri Sembilan apabila menguasai 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) susulan Pilihan Raya Negeri ke-15 pada 2023.

Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN dan daripada jumlah itu, PH memenangi 17 kerusi, BN menguasai 14 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memiliki lima kerusi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button