BERITA SEMASABISNES & EKONOMIPMX

i-Sayang terus dapat sambutan, 158,000 suami salur caruman RM309 juta kepada isteri

KUALA LUMPUR – Program i-Sayang yang diperkenalkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terus mendapat sambutan menggalakkan apabila seramai 158,000 suami menyertainya sejak dilancarkan pada Mac 2023 dengan jumlah pindahan caruman mencecah RM309.4 juta setakat Ogos lalu.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program itu membolehkan suami memperuntukkan dua peratus daripada caruman bulanan KWSP mereka (syer pekerja) ke akaun isteri secara sukarela sebagai tanda sokongan terhadap kesejahteraan kewangan keluarga.

“Program i-Sayang menunjukkan penerimaan positif dalam kalangan rakyat, mencerminkan kesedaran semakin tinggi tentang pentingnya perlindungan kewangan untuk pasangan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bebas–Bukit Gantang) yang meminta penjelasan mengenai usaha kerajaan menggalakkan lebih ramai warganegara membuka akaun KWSP serta menikmati manfaat seperti dividen tahunan tinggi dan skim padanan caruman sebagaimana program i-Suri yang dilaksanakan sejak 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, pelbagai langkah dan inisiatif sudah, sedang dan akan dilaksanakan bagi menggalakkan rakyat Malaysia yang mempunyai akaun KWSP untuk mencukupkan simpanan persaraan mereka.

Jelasnya, usaha itu merangkumi insentif caruman padanan oleh kerajaan, perluasan skim caruman sukarela kepada golongan bekerja sendiri dan tidak formal serta langkah-langkah memperkukuh kesedaran awam mengenai kepentingan simpanan hari tua.

“Ini termasuk menaikkan insentif padanan i-Saraan daripada 15 peratus kepada 20 peratus mulai 1 Januari 2025 dengan had maksimum RM500 setahun dan RM5,000 seumur hidup.

“Penambahbaikan ini meningkatkan jumlah caruman kepada RM2.8 bilion daripada 487,375 ahli pada separuh pertama 2025, naik 74 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Jelas beliau, sehingga Ogos lalu, seramai 1.12 juta ahli KWSP membuat caruman secara sukarela dengan jumlah caruman sebanyak RM14.13 bilion.

“Di samping itu, kadar insentif padanan kerajaan bagi program i-Suri sebanyak 50 peratus daripada jumlah caruman tahunan dilanjutkan pada tahun 2025.

“Inisiatif ini adalah tertakluk kepada had maksimum insentif padanan Kerajaan sebanyak RM300 setahun dan RM3,000 untuk seumur hidup kepada suri rumah di bawah umur 55 tahun yang berdaftar dalam pangkalan data e-Kasih,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button