Ibu tunggal rugi RM60,500 diperdaya kekasih TikTok
KUALA TERENGGANU – Seorang ibu tunggal berputih mata apabila kerugian RM60,500 selepas terjerat dalam hubungan cinta dengan seorang lelaki yang dikenali menerusi aplikasi TikTok sejak awal bulan lalu.
Lebih menyedihkan, sebahagian besar wang yang lesap itu merupakan hasil pinjaman peribadi yang dibuat mangsa berusia lewat 30-an berkenaan demi membantu ‘kekasih maya’ terbabit.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asistan Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan mula berkenalan dengan suspek menerusi TikTok sebelum hubungan mereka berlanjutan di aplikasi WhatsApp.

Menurut beliau, mangsa kemudian diminta membuat bayaran kononnya untuk tempahan hotel pada 10 April lalu.
“Mangsa membuat pindahan wang sebanyak RM500 ke dalam akaun e-dompet yang diberikan suspek.
“Pada 22 April lalu pula, suspek meminta mangsa membantu menggunakan akaun bank miliknya dengan alasan akaunnya telah disekat,” katanya dalam kenyataan semalam.
Azli berkata, tanpa mengesyaki sebarang penipuan, wanita terbabit kemudian memindahkan RM60,000 ke akaun bank diberikan suspek.
Beliau berkata, mangsa akhirnya menyedari dirinya ditipu sebelum tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 10.01 malam kelmarin.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











