BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

ICW & BuildXpo 2025 pamer teknologi pembinaan terkini

KUALA LUMPUR – Lebih 350 reruai pameran akan mengisi ruang Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, pada penganjuran Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) & BuildXpo 2025 yang bakal berlangsung dari 28 hingga 30 Oktober ini.

Acara tahunan yang dianjurkan oleh Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) itu akan menampilkan pelbagai teknologi pembinaan terkini, bahan inovatif serta penyelesaian industri yang mampan.

ICW & BuildXpo 2025 turut menjadi platform penting dalam memperkukuhkan kepimpinan Malaysia dan ASEAN dalam bidang kelestarian, inovasi dan kemajuan teknologi.

Acara dijangka menarik minat pelbagai pihak termasuk pelabur, pemain industri serta pakar pembinaan dari seluruh ASEAN dan dunia.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Azman Ibrahim, menekankan kepentingan acara ICW & BuildXpo 2025 sebagai sebahagian daripada Dasar Pembinaan Negara (NCP) 2030.

“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan mengetengahkan kepimpinan industri pembinaan yang mampan dan inovatif.

“ICW & BuildXpo 2025 menjadi bukti usaha kolektif kita dalam menangani cabaran serantau sambil membuka peluang pertumbuhan baharu untuk semua pemain industri,” katanya dalam ucapan pra pelancaran ICW & BuildXpo 2025 baru-baru ini.

Ir Yusuf Abd. Wahab

Sementara itu, Pengerusi CIDB Malaysia, Ir Yusuf Abd. Wahab turut menegaskan keperluan industri pembinaan untuk bergerak seiring dengan perubahan teknologi semasa.

“Industri pembinaan kini berada di titik perubahan dalam mengadaptasi transformasi digital dan amalan lestari bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan,” katanya.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1998, ICW telah berkembang menjadi salah satu platform utama industri pembinaan serantau.

Tahun 2025 menandakan edisi ke-27 penganjurannya dengan BuildXpo berperanan sebagai pameran perdagangan rasmi.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, layari laman web rasmi ICW & BuildXpo 2025.

Azman Ibrahim (tengah) bersama Ir Yusuf Abd. Wahab (dua dari kiri) pada majlis pra pelancaran ICW & BuildXpo 2025 baru-baru ini.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button