ILKAP dijenama semula sebagai Akademi Perundangan Negara – Azalina
BANGI – Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) dijenamakan semula sebagai Akademi Perundangan Negara (APN), selaras dengan usaha memperkukuh sistem latihan undang-undang dalam negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu disokong Kabinet pada 9 April lalu sebagai sebahagian agenda reformasi institusi yang sedang digerakkan Kerajaan MADANI.

“Penjenamaan semula ini penting bagi mencerminkan kewujudan dua institusi latihan berasingan iaitu Akademi Kehakiman Malaysia (AKM) dan APN yang masing-masing membawa fungsi tersendiri dalam bidang kehakiman dan perundangan,” katanya semasa Majlis Perhimpunan Bulanan Jun 2025 di APN hari ini.
Azalina turut menzahirkan keyakinan bahawa APN akan terus memainkan peranan penting dalam melatih pegawai kerajaan berhubung pelaksanaan undang-undang baharu dan sedia ada, sejajar dengan kemajuan teknologi serta keperluan masyarakat.
“Setiap undang-undang yang diluluskan perlu dipromosi dan dilaksanakan dengan segera. Pegawai institusi perundangan juga perlu dipersiap dengan kemahiran sewajarnya agar pelaksanaan undang-undang dapat dilakukan dengan berkesan,” katanya lagi.
Dalam ucapannya, Azalina turut memaklumkan perkembangan positif menjelang penganjuran ASEAN Law Forum (ALF) 2025 yang akan berlangsung pada 19 hingga 21 Ogos ini di Kuala Lumpur.
Menurut beliau, negara-negara ASEAN serta rakan dialog termasuk Jepun dan Uzbekistan menyatakan minat tinggi untuk menyertai forum tersebut hasil siri lawatan beliau ke beberapa negara baru-baru ini.
Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Undang-Undang, M. Kulasegaran, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Datuk Zamri Bakar serta pengarah-pengarah agensi berkaitan undang-undang di bawah Jabatan Perdana Menteri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












