Ilmu pertahanan terus berkembang, pegawai tentera diseru amal pembelajaran berterusan
PUTRAJAYA – Para pegawai tentera diingatkan supaya sentiasa melengkapkan diri dengan budaya pembelajaran berterusan kerana ilmu pertahanan tidak pernah berhenti berkembang.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penerokaan ilmu itu tidak hanya di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) sahaja sebaliknya boleh diperolehi di mana sahaja di dunia.
“Dalam dunia pertahanan dan keselamatan, pengetahuan (yang kita ada) cepat menjadi lapuk, kerana teknologi berkembang lebih pantas daripada yang kita bayangkan.
“Pada masa yang sama, ancaman bukan tradisional menjadi semakin kompleks, diikuti persaingan kuasa yang berubah-ubah turut membentuk landskap geopolitik kita dengan pantas.
“Oleh itu, untuk kekal relevan dan berkesan, kita mesti terus bersikap ingin tahu dan komited terhadap pembelajaran sepanjang hayat dalam konteks keselamatan,” katanya
Mohamed Khaled berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) bagi sesi 2025 di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), hari ini.
Menurut beliau, pegawai tentera tidak kira daripada cabang darat, udara dan laut tidak hanya dilatih sekadar untuk menjadi askar atau pengusung senjata sebaliknya dilatih menjadi pemimpin.
“Kepimpinan ialah tunjang profesion ketenteraan. Ia menuntut kejelasan arah, kesatuan usaha, serta keberanian membuat keputusan tegas walaupun sering kali di bawah tekanan yang amat tinggi.
“Dalam suasana yang kacau-bilau sama ada di medan perang, misi kemanusiaan dan operasi bantuan bencana. Setiap pemimpin yang berkesan mampu menentukan hasil sesuatu keadaan,” katanya lagi.
Dalam majlis hari ini, seramai 270 penuntut yang terdiri dari pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk pegawai angkatan tentera negara asing, menerima sijil dan lencana masing-masing.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












