JENAYAH & MAHKAMAH

Imigresen Johor tahan warga Korea Selatan disyaki guna pas palsu

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen (JIM) Johor menahan seorang lelaki warga Korea Selatan kerana menggunakan pas penggajian disyaki palsu untuk tinggal di negara ini.

Menurut Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, siasatan awal mendapati, lelaki berusia 49 tahun itu turut dipercayai berada dalam senarai individu dikehendaki pihak berkuasa negara asalnya, kerana disyaki terbabit kes penipuan membabitkan kerugian berjumlah KRW 3.5 bilion (kira-kira RM9.4 juta).

“Hasil maklumat awam dan risikan, kita berjaya menahan seorang lelaki warga Korea Selatan yang berada di negara ini dengan menggunakan pas penggajian disyaki palsu.

“Ketika pemeriksaan dijalankan ke atas sebuah kediaman di Horizon Hills, di sini semalam, lelaki itu ditemui bersama isterinya yang juga warga China berusia 45 tahun dan dua anak lelaki masing-masing berusia 20 serta 12 tahun.

“Kedua-dua anak itu juga adalah warga Korea Selatan di mana seorang daripada mereka menggunakan Pas Lawatan Sosial, manakala seorang lagi Pas Pelajar.

“Selain itu, terdapat seorang wanita warga Filipina berusia 55 tahun sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di halaman kediaman itu. Wanita itu dipercayai datang membersihkan rumah berkenaan dengan mengambil gaji harian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pemeriksaan itu, Mohd Rusdi berkata, lelaki warga Korea Selatan berkenaan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, selain hasil semakan sistem imigresen mendapati dia serta wanita warga Filipina terbabit telah tinggal lebih masa di Malaysia.

Katanya, kedua-dua individu itu kemudian direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button