BERITA SEMASADALAM NEGERI

Imigresen selamatkan 40 mangsa pemerdagangan manusia

KUALA LUMPUR – Seramai 40 wanita warga Indonesia yang disyaki menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi serbuan di beberapa lokasi sekitar Petaling Jaya, dekat sini, semalam.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, pihaknya menahan empat individu termasuk dalang utama sindiket berkenaan, yang selama ini beroperasi di sebalik sebuah agensi pekerja asing.

“Suspek yang ditahan terdiri daripada seorang wanita tempatan dan tiga warga Indonesia (satu wanita dan dua lelaki) berumur 28 hingga 50 tahun, manakala mangsa yang diselamatkan berusia 21 hingga 51 tahun dan telah berada di Malaysia antara satu hingga tujuh tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata, pihaknya turut merampas 12 pasport Indonesia yang tidak dimiliki oleh mangsa diselamatkan, dipercayai milik warga asing lain yang pernah diuruskan oleh sindiket berkenaan.

Beliau menjelaskan, siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai menipu mangsa dengan menawarkan pekerjaan serta menguruskan pas kerja kononnya sah, selain menjanjikan bayaran gaji yang tinggi.

“Namun sebaik tiba di Malaysia, mangsa ditempatkan di rumah yang disediakan sindiket dengan pergerakan dikawal serta dipegang pasport, dan diarahkan bekerja sebagai pembantu rumah harian atau pekerja pembersihan tanpa Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah selain tidak menerima gaji yang dijanjikan.

“Beberapa mangsa memiliki PLKS atas nama majikan, namun sebenarnya mereka tidak bekerja dengan majikan tersebut,” katanya.

Dalam pads itu, Zakaria berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat majikan yang bekerjasama dengan agensi pekerjaan asing, bagi memohon perkhidmatan pembantu rumah sebagai balasan atau untuk mengaut keuntungan.

Kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), manakala mangsa telah diberikan Perintah Perlindungan Interim (IPO) dan ditempatkan di Rumah Perlindungan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button