
Imigresen serbu 17 pusat hiburan, tahan 120 wanita warga asing
KUANTAN – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 120 wanita warga asing dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran dalam satu operasi bersepadu yang diadakan di bandar raya ini, malam tadi.
Operasi khas yang bermula pada pukul 11.00 malam itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama JIM Negeri Pahang, dan turut disertai Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) dan juga anggota JIM Perlis, Perak dan Negeri Sembilan.
Sebanyak 17 pusat diserbu dalam operasi tersebut, kata JIM dalam satu kenyataan hari ini.
“Modus operandi di pusat hiburan ini adalah dengan melakukan promosi dengan menggunakan foto wanita-wanita itu melalui aplikasi media sosial.
“Bayaran yang dikenakan ke atas pelanggan di premis antara RM300.00 hingga RM400.00 bergantung kepada pakej yang ditawarkan, dan urusan transaksi adalah secara dalam talian atau tunai sebelum wanita warganegara asing tersebut diserahkan kepada pelanggan,” kata kenyataan itu lagi.
Siasatan mendapati, kegiatan persundalan itu dipercayai wujud sejak tiga bulan lalu dan ketika serbuan pelbagai peralatan seks turut dirampas.
“Pemeriksaan di setiap pusat hiburan itu mendapati pemilik premis terbabit turut menyediakan bilik rahsia untuk menyembunyikan semua wanita berkenaan jika serbuan dilakukan pihak berkuasa,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, seorang lelaki dipercayai pelanggan turut bertindak terjun dari tingkat dua sebuah pusat hiburan yang diserbu kerana cuba melarikan diri.
Dia yang cedera kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan.
“Kesemua warga asing ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963, manakala 11 orang lelaki warganegara Malaysia ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.
“Kita turut mengeluarkan notis kepada 40 lagi warganegara Malaysia supaya hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” tambah kenyataan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












