Lelaki warga Indonesia aktif curi bateri kereta ditahan polis
KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia bagi membantu siasatan berhubung kehilangan 17 bateri kenderaan di sekitar Taman Dato Senu, Sentul sejak Oktober lalu.
Suspek berusia 27 tahun itu dipercayai bergerak sendirian pada waktu malam dengan menyasarkan kenderaan yang diparkir di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta lokasi awam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, tangkapan dibuat pada Jumaat hasil kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur.
“Suspek bekerja sebagai pembantu kedai makan dan bergerak secara solo ini dikesan hasil maklumat dan risikan polis. Dia didapati mengumpul bateri kereta yang dicurinya di satu kawasan lapang untuk dijual antara RM30 hingga RM50 bagi setiap bateri.
“Suspek direman sehingga 21 Februari untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Sukarno berkata, polis percaya berjaya menyelesaikan beberapa kes kecurian bateri kereta sekitar kawasan Dato Senu dengan penahanan lelaki berkenaan.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












