‘Ini bukan soal politik, tetapi soal hak Sabah dan soal prinsip’
Isu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkenaan hak 40 peratus negeri Sabah
PENAMPANG – Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick sedia untuk berundur daripada barisan kabinet kerajaan sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
Beliau yang menjawat jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, pendiriannya selari dengan ketetapan Konvensyen UPKO Bahagian Penampang yang meluluskan resolusi menyokong keputusan penghakiman ke atas semakan kehakiman yang difailkan oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) berkenaan dengan hak 40 peratus Sabah.
Konvensyen berkenaan turut meluluskan resolusi supaya Ewon mengundurkan diri dari kabinet Persekutuan sekiranya AGC tetap memfailkan rayuan berhubung keputusan penghakiman itu, lapor Utusan Borneo.
“UPKO memberikan penghormatan dan penghargaan tinggi kepada SLS atas kejayaan mendapatkan penghakiman yang mengiktiraf hak 40 peratus sebagai hak perlembagaan Sabah.
“UPKO juga menegaskan supaya kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah memuktamadkan persetujuan dalam tempoh 180 hari berkenaan pelaksanaan hak berkenaan sepertimana penghakiman mahkamah,” katanya, semalam.
Ewon menegaskan untuk bertanggungjawab sepenuhnya terhadap usul yang diluluskan dalam konvensyen parti berkenaan.
Menurutnya, mesyuarat kabinet hari Jumaat depan akan menjadi medan untuk beliau menyatakan pendirian rasmi UPKO, iaitu supaya kerajaan Persekutuan mengarahkan Pejabat Peguam Negara tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Katanya, Perdana Menteri, Timbalan-Timbalan Perdana Menteri serta ahli-ahli kabinet sudah maklum dengan syor beliau supaya AGC tidak memfailkan rayuan melalui platform media perbincangan kabinet, memandangkan keputusan Mahkamah Tinggi dikeluarkan selepas mesyuarat kabinet dua hari lalu.
“Selepas ini, saya akan membawa perkara itu ke mesyuarat minggu depan supaya resolusi dan pendirian parti direkodkan secara rasmi dalam mesyuarat jemaah menteri.
“Sekiranya dalam tempoh 30 hari ini rayuan masih difailkan, saya akan bertanggungjawab terhadap resolusi parti dengan mengundurkan diri dari kabinet Persekutuan.
“Ini bukan soal politik, tetapi soal hak Sabah dan soal prinsip. Saya tidak dapat menyokong keputusan lain atau tindakan lain yang bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












