Inisiatif NADI: MCMC sasar latih 7,000 usahawan wanita
Ia bertujuan meningkatkan lebih ramai usahawan dalam talian dengan kemahiran bagi mengembangkan perniagaan mereka melalui platform e-dagang
CYBERJAYA – Inisiatif Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyasarkan untuk melatih 7,000 usahawan luar bandar khususnya golongan wanita.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, daripada 1,099 NADI di seluruh negara, hampir 4,000 usahawan telah mendapat manfaat daripada inisiatif tersebut.
“Malah, 85 peratus daripadanya terdiri daripada golongan wanita. Mereka berjaya memanfaatkan internet berkelajuan tinggi bukan sahaja untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang masing-masing, tetapi juga berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

“Ada di antara mereka pendapatannya jauh melebihi Ahli Parlimen. Contohnya, di Bau, Sarawak terdapat seorang usahawan manik memperoleh lebih RM25,000 sebulan.
“Di Morib, Selangor, seorang wanita yang menjual roti secara dalam talian mampu menjana pendapatan lebih RM40,000 sebulan.
“Jadi, kita mahu melihat tahun ini lebih ramai usahawan terutama dalam kalangan wanita terlibat dalam program kemahiran di NADI sekali gus meningkatkan ekonomi rumah tangga mereka,” katanya.
BACA : Tiga acara, satu matlamat: Malaysia pacu kesaksamaan digital serantau
Fahmi berkata sedemikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) 2025, Girls in ICT (GICT) serta Ulang tahun ke-160 Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di Cyberview Resort & Spa, di sini hari ini.
Menurut beliau, inisiatif itu bertujuan meningkatkan lebih ramai usahawan dalam talian dengan kemahiran bagi mengembangkan perniagaan mereka melalui platform e-dagang, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi tempatan dan memperkasakan komuniti.

Sementara itu, Fahmi berkata, di sebalik galakan supaya orang ramai mengambil peluang dan kelebihan yang dibawakan oleh teknologi, mereka juga mesti sentiasa berwaspada dan peka terhadap ancaman keselamatan dalam talian.
Jelas beliau, kemampuan membina persekitaran berasaskan teknologi yang selamat dan bertanggungjawab adalah kunci untuk membantu semua rakyat Malaysia maju dan memanfaatkan dunia yang saling berhubung pada masa kini.
BACA : NADI Sim Sim perkasa usahawan, tingkat celik digital komuniti
“Di sinilah peranan MCMC dalam membina dan memupuk persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan berdaya tahan melalui usaha-usaha seperti membanteras ancaman siber, melindungi data peribadi dan mendidik pengguna khususnya golongan yang paling terdedah.
“Salah satu inisiatif tersebut ialah ‘Kempen Internet Selamat yang meningkatkan kesedaran awam mengenai keselamatan dalam talian dan menggalakkan penggunaan internet secara bertanggungjawab di semua lapisan masyarakat,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












