Inkues Zara Qairina: Saksi dakwa diberitahu Allahyarham terjun dari aras dua asrama
KOTA KINABALU – Saksi kanak-kanak ke-20 inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner hari ini dia diberitahu Allahyarham terjun daripada aras dua bangunan asrama.
Menurut saksi itu, dia diberitahu mengenai kejadian oleh rakan sebiliknya ketika baru bangun daripada tidur kira-kira pukul 4.30 pagi, 16 Julai lalu.
Menceritakan semula keterangan saksi, peguam Joan Goh berkata saksi menjelaskan bahawa dia tidak percaya arwah Zara Qairina sanggup berbuat demikian.
“Pada pagi 16 Julai 2025, lebih kurang pukul 4.30 pagi, semasa saksi baru bangun tidur, seorang ‘dormmate’ saksi berbisik kepadanya, ‘Zara terjun dari aras dua, banyak darah dia dekat lantai aras paling bawah’.
“Saksi menyatakan dia tidak percaya dan merasa tidak mungkin Zara sanggup buat begitu. Apabila saksi keluar dari ‘dorm’ ramai pelajar berdiri di kawasan koridor aras tiga, tapi saksi terus pergi mandi.
“Selesai mandi, saksi dapati ‘dormmate’ saksi masih lagi berada di dalam dorm dan bertanya balik apa yang dia cakap tadi kepada saksi. Kemudian, dia beritahu sekali lagi kepada saksi yang Zara sudah terjun dari aras dua ke aras paling bawah.
“Saksi masih tidak percaya, lalu menjenguk ke aras bawah dan dapat melihat kesan darah di tepi longkang. Dalam fikiran saksi, dia terfikir adakah Zara terjun dari aras dua ataupun dari aras tiga.
“Selepas itu saksi terus ke surau untuk sembahyang subuh,” katanya selepas selesai prosiding, hari ini.
Terdahulu, katanya, saksi menceritakan mengenai arwah Zara yang dilihat berada dalam tandas ketika saksi bersama dua kawannya pergi ke tandas aras tiga untuk mengisi air dalam gelen (bekas air) pada kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
Menurut Joan, saksi memberitahu mahkamah, ketika itu ada seseorang berada dalam tandas nombor satu dan orang itu ialah Allahyarham Zara seperti yang dimaklumkan oleh kawannya.
“Mereka bertiga menunggu Zara keluar dari tandas nombor satu, tapi Zara tidak keluar-keluar dan mereka hanya mendiamkan diri saja dan meneruskan mengisi air di dalam gelen. Mereka tidak tahu mengapa Zara berkurung di tandas pada masa itu.
“Semasa mengisi air dalam gelen, saksi menyatakan dia menghadap cermin tandas dan terkejut nampak dari cermin ada tangan dan sebahagian kepala serta muka Zara di atas dinding kiri bilik tandas nombor satu, seolah-olah sedang memerhati siapa yang ada dalam tandas.
“Saksi terus berlari keluar mendapatkan dua orang kawan saksi yang sedang berada di koridor tandas dan terus sambung bersembang dengan mereka, tapi tidak masuk lagi ke dalam tandas,” katanya.
Selepas itu, katanya, saksi memberitahu mahkamah pada kira-kira pukul 12.50 tengah malam, mereka bertiga pergi ke bilik rakan mereka untuk membangunkan ketua bilik dan memberitahu bahawa Zara berkurung dalam tandas.
Katanya, mereka juga membangunkan rakan sebilik yang lain untuk menemankannya masuk semula ke dalam tandas kerana mereka risau dan takut dengan keadaan Zara yang tidak keluar-keluar dari tandas.
“Tapi, saksi menyatakan rakan sebilik yang lain hanya mendiamkan diri dan tidur. Selepas itu, saksi balik ke dorm dan terus masuk tidur manakala dua rakannya bersembang di hadapan pintu bilik, sebelum masuk ke bilik masing-masing pada jam 1 pagi,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












