Inkues Zara Qairina: Saksi dedah lokasi terakhir mangsa di tandas tingkat tiga asrama
KOTA KINABALU – Mahkamah Koroner diberitahu bahawa Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dipercayai kali terakhir dilihat di tandas tingkat tiga asrama sebelum ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah bangunan berkenaan pada awal pagi 16 Julai lalu.
Perkara itu dimaklumkan Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah, D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Inspektor Maidon Bernadus ketika memberi keterangan mengenai simulasi kejadian yang dijalankan bersama pasukannya.
Beliau menjelaskan simulasi dilakukan di tingkat tiga setelah menerima taklimat daripada Pegawai Penyiasat, Inspektor Wong Yew Zhung yang mendapati hasil siasatan awal menunjukkan kedudukan terakhir mangsa berada di dalam tandas berhadapan koridor tingkat berkenaan.
Menurut Maidon, ujian simulasi menggunakan patung berkenaan turut dijalankan pada pukul 3 pagi iaitu waktu sama insiden berlaku.
Bagaimanapun, beliau mengakui keadaan pencahayaan semasa simulasi berbeza kerana dibantu lampu tambahan.
“Mungkin semasa insiden keadaan pencahayaan kurang terang,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.
Menjawab pertanyaan berhubung kepakaran, Maidon mengesahkan bahawa beliau bukan pakar dalam bidang biomekanik dan proses pembinaan semula itu tidak pernah disemak oleh pakar bebas.
“Apabila saya membuat reconstruct, saya hanya menyediakan laporan siasatan tempat kejadian sahaja.
“Untuk dapatkan pakar bebas atau biomekanik, kita perlu arahan daripada pegawai atasan,” jelasnya.
Beliau juga mengakui proses bina semula atau rekonstruksi yang dijalankan pasukannya tidak melibatkan kepakaran dalam bidang biomekanik, sebaliknya lebih kepada ukuran jatuhan patung dengan dinding berhampiran di tingkat bawah bangunan.
Maidon menambah, beliau tidak melakukan tugasan lain seperti mengesan cap jari, tapak kaki atau tompokan darah kerana siasatan terdahulu telah dijalankan oleh pegawai forensik, Inspektor Alif dari IPK Sabah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











