Insiden bot terbalik di Kota Belud ragut satu nyawa, satu lagi hilang
KOTA BELUD – Seorang pemuda maut dalam kejadian bot terbalik semasa trip memancing di perairan Kampung Tamau batu Gadung, si sini, petang semalam.
Sebelum itu, mangsa yang berusia 18 tahun itu ditemui orang awam pukul 9.50 malam dan dibawa penduduk kampung ke Hospital Kota Belud bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Seorang lagi mangsa berusia 23 tahun masih belum ditemui dan operasi pencarian dan menyelamat (SAR) masih giat dijalankan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elgie Bakuk berkata, mangsa yang dibawa ke hospital itu ditemukan oleh orang awam kira-kira 700 meter dari lokasi bot karam.
“Mangsa dihantar ke hospital menggunakan kenderaan awam, namun disahkan meninggal dunia di Hospital Kota Belud.
“Operasi pencarian seorang lagi mangsa masih giat dijalankan dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan media, pagi ini.
Terdahulu, dua lelaki dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka terbalik ketika memancing di perairan berkenaan.
Dalam kejadian pukul 5.20 petang itu, bot membawa lapan individu dipercayai dipukul ombak sebelum terbalik di muara sungai, menyebabkan dua mangsa berusia 23 dan 18 tahun dihanyutkan arus.
Enam mangsa lain dapat menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












