IPT perlu amalkan perkongsian ilmu, elak sikap tertutup – Zambry
PUTRAJAYA – Institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini perlu mengamalkan konsep perkongsian ilmu dan kepakaran bagi memastikan pencapaian lebih cemerlang serta memberi manfaat kepada negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dalam ucapannya di Malam Anugerah Malaysia’s Research Star Award (MRSA) 2025 berkata, amalan itu penting bagi memastikan IPT tidak terlalu tertutup dalam pendekatan masing-masing sehingga menjejaskan perkembangan akademik dan reputasi universiti.

“Konsep ini sangat mustahak kerana kita sering menekankan kepentingannya kepada dunia. Jadi, jangan terlalu tertutup dalam pendekatan, jangan hanya fokus menjaga universiti sendiri sehingga merasakan ia lebih baik daripada yang lain,” katanya memetik laporan Bernama.
Zambry turut mengingatkan warga IPT agar menghentikan budaya atau amalan yang boleh menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap institusi pendidikan negara.

“Kita kena keluar daripada budaya yang tidak baik di universiti. Jangan berantakan sesama sendiri kerana ia boleh mematikan tradisi akademik dan mencemarkan nama baik IPT,” katanya lagi.
Menurutnya, penerbitan bahan ilmiah juga perlu dipertingkatkan kerana ia boleh membantu menaikkan reputasi dan kualiti IPT tempatan di peringkat antarabangsa.
“Saya ucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah MRSA 2025. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada IPT lain ke arah pencapaian lebih gemilang,” katanya lagi.
Anugerah MRSA yang diperkenalkan sejak 2012 menyaksikan penyampaian 26 anugerah merangkumi empat kategori utama iaitu Frontier Researcher, Outstanding Research in Phytochemicals, Researcher Cluster dan Journal.
Universiti Putra Malaysia (UPM) mengungguli kategori Frontier Researcher dan Outstanding Research in Phytochemicals, sekali gus membuktikan keunggulannya dalam penyelidikan akademik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












