BERITA SEMASADALAM NEGERI

Jalinan IPT, industri mampu lonjak sektor semikonduktor negara – Zambry

GEORGE TOWN – Kepercayaan antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan industri merupakan asas utama dalam memperkasa ekosistem semikonduktor negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menurut beliau, hubungan rapat antara dunia akademia dan industri perlu dimantapkan secara strategik bagi membina kapasiti sebenar negara melalui penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat berkualiti tinggi.

“(Sebagai contoh) pelaksanaan IC Design Apprenticeship yang dikendalikan oleh Pusat Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik Kolaboratif USM serta pengiktirafan industri terhadap program Sarjana melalui APEL dalam Pembungkusan Semikonduktor Termaju,” katanya.

Beliau berkata demikian sebelum merasmikan Simposium Antarabangsa Institut Jurutera Elektrik dan Elektronik mengenai Analisis Fizikal dan Kegagalan Litar Bersepadu kali ke-32 yang berlangsung di sini semalam.

Baca juga : Kursus tak relevan dengan AI tidak akan ditutup – Zambry

Sementara itu, KPT memaklumkan IPFA 2025 yang berlangsung dari 5 hingga hari ini di SPICE Convention Centre merupakan penganjuran bersama USM, IEEE Singapore Chapter dan Institut Mikrokejuruteraan dan Nanoelektronik (IMEN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Sebanyak 150 kertas kerja telah diterima untuk dibentangkan, melibatkan penyertaan 70 peratus daripada luar negara, dengan pengisian utama termasuk tiga penceramah utama, bengkel teknikal, sesi jemputan industri dan pameran teknologi cip semikonduktor.

“Bengkel khas turut diadakan kepada 130 orang pelajar daripada lima IPT awam dan swasta, termasuk Universiti Xiamen Malaysia, bagi memberi pendedahan langsung kepada reka bentuk litar bersepadu dan analisis kegagalan cip,” katanya.

Selain itu, Zambry turut menyempurnakan perasmian USM–Sandisk CiA Lab di Batu Kawan, yang merupakan model pertama ‘universiti dalam industri’ di Malaysia hasil kerjasama strategik antara USM dan Sandisk sejak tahun 2020.

Makmal berkenaan menempatkan penyelidik, pelajar dan pensyarah dalam persekitaran industri sebenar, dengan tumpuan terhadap teknologi Lights Out Manufacturing dan IR4.0 yang selaras dengan pengiktirafan fasiliti tersebut sebagai 4IR Lighthouse oleh Forum Ekonomi Dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button