BERITA SEMASABISNES & EKONOMIJOM RONDA

IRAMA Signature ‘berlabuh’ di Putrajaya, satukan hampir 200 hidangan Melayu moden

PUTRAJAYA – Dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur, jenama restoran Melayu moden, IRAMA Signature akhirnya ‘berlabuh’ di IOI City Mall di sini, bagi menawarkan pengalaman gastronomi pelbagai rasa dalam satu bumbung kepada pengunjung.

Di sebalik pembukaan itu, empat tunjang utama jenama berkenaan iaitu Arshad Kamaruzaman, Bella Arshad serta adik-beradik Ikhwan Siru dan Ikmal Siru berganding bahu merealisasikan konsep restoran berteraskan cita rasa tempatan.

Konsep tersebut menghimpunkan tujuh elemen sajian merangkumi pembuka selera, hidangan utama, pencuci mulut dan minuman, sekali gus mengekalkan akar serta identiti masakan Melayu.

Menurut Bella Arshad, IRAMA Signature tampil dengan konsep ‘alunan rasa’ yang menggabungkan pelbagai inspirasi masakan dalam satu ruang agar pelanggan tidak perlu lagi ke Pulau Pinang semata-mata untuk menikmati kepelbagaian rasa.

“Kami satukan semuanya dalam satu rumah. Walaupun konsepnya moden, kami tetap mengekalkan rasa dan identiti asal masakan Melayu, terutamanya penggunaan santan dan krim yang menjadi elemen penting,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan restoran itu baru-baru ini.

IRAMA Signature menampilkan hampir 200 hidangan yang merangkumi pelbagai cita rasa Malaysia dan Asia, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian sajian dalam satu destinasi.

Keistimewaannya bukan sekadar pada jumlah menu, sebaliknya pada pemilihan setiap hidangan yang berteraskan kegemaran pelanggan, termasuk Pais Baramundi, masak lemak versi Irama Dining, daging salai moden serta Nasi Goreng Wagyu yang kini menjadi antara menu paling diperkatakan sejak pembukaan.

IRAMA
Hampir 200 hidangan pelbagai cita rasa Malaysia dan Asia ditampilkan di IRAMA Signature.

Mengulas lanjut, Bella menjelaskan, perbezaan IRAMA Signature bukan terletak pada menu yang asing, sebaliknya pada cara penyatuan hidangan yang dekat dengan citarasa rumah, termasuk nasi goreng wagyu yang diinspirasikan daripada masakan kampung serta udang sambal hijau pedas.

Mengulas pemilihan Putrajaya sebagai lokasi terbaharu, Bella berkata, ia dibuat susulan permintaan pelanggan Melayu dari kawasan Bangi, Putrajaya, Kajang dan Semenyih yang merasakan cawangan di pusat bandar terlalu jauh.

“Disebabkan itu, kami memilih IOI City Mall untuk mendekati pelanggan di kawasan ini dan menjadikannya restoran mesra keluarga dengan harga yang berpatutan,” ujarnya.

Tambah beliau, konsep harga yang ditawarkan membolehkan lima hingga enam orang menikmati hidangan dengan anggaran sekitar RM150, selain pakej set menu yang merangkumi 199 hidangan yang sesuai untuk keluarga dan kumpulan kecil.

IRAMA Signature juga menyediakan ruang acara yang boleh memuatkan sehingga 150 orang serta menawarkan set menu yang boleh disesuaikan mengikut bajet pelanggan.

Menyentuh perjalanan membangunkan jenama itu, Bella mengakui ia bukan mudah selepas sedekad melalui pelbagai cabaran, namun pembukaan cawangan terbaharu itu menjadi simbol kejayaan ‘anak kelapan’ mereka dalam dunia perniagaan.

“Kami berharap IRAMA Signature boleh berkembang seperti jenama kopi terkenal dan menjadi restoran Melayu yang mempunyai banyak cawangan di seluruh negara, seterusnya berkembang ke peringkat ikonik,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button