BERITA SEMASALUAR NEGARA

Iran nafi dakwaan berunding dengan AS, tiada niat berdamai – Menteri Luar Iran

TEHRAN – Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan bahawa negaranya ketika ini tidak terlibat dalam sebarang rundingan dengan Amerika Syarikat bagi menamatkan perang malah tidak bercadang untuk berbuat demikian.

Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan oleh setiausaha akhbar Presiden AS, Donald Trump yang memaklumkan bahawa rundingan antara kedua-dua pihak masih berjalan dan memberi hasil positif.

Menurut Araghchi, pihak AS hanya menyampaikan beberapa cadangan melalui orang tengah, termasuk pelan 15 perkara yang dilaporkan dikemukakan kepada Iran.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak secara terang-terangan cadangan tersebut sebaliknya mengulangi pendirian Iran yang sebelum ini dikemukakan menerusi cadangan balas lima perkara oleh seorang pegawai kanan negara itu.

Sementara itu, laporan media Israel menyatakan Tehran perlu memenuhi beberapa syarat utama bagi menamatkan konflik, termasuk menghentikan usaha pembangunan senjata nuklear serta mengehadkan program peluru berpandu.

Cadangan itu turut menggesa Iran membongkar kemudahan nuklear dan menyerahkan uranium diperkaya kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa untuk pemantauan berterusan.

Selain itu, Iran juga diminta menghentikan sokongan terhadap kumpulan sekutu serantau seperti Hezbollah, Hamas dan Houthi.

Dalam perkembangan sama, Iran perlu membuka semula Selat Hormuz sebagai laluan perdagangan bebas, selepas penutupannya mencetuskan lonjakan harga minyak global serta kebimbangan kemelesetan ekonomi dunia.

Sebagai balasan, semua sekatan antarabangsa terhadap Iran dicadangkan untuk ditarik balik.

Namun, pihak Rumah Putih tidak mengesahkan sepenuhnya pelan tersebut, dengan menyatakan hanya sebahagian laporan adalah tepat.

Media kerajaan Iran pula melaporkan lima syarat utama telah dikemukakan Tehran bagi menamatkan perang tersebut, termasuk penghentian segera semua bentuk serangan dan pembunuhan oleh pihak musuh.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebelum ini menegaskan hasrat untuk memusnahkan ancaman sepenuhnya, dengan beberapa pegawai kanan Iran dilaporkan terbunuh sejak hari pertama serangan.

Dalam tuntutan lain, Iran mahukan jaminan kukuh bagi mengelakkan perang berulang, selain menuntut pampasan kerugian perang serta hak penuh mengawal Selat Hormuz.

Tehran turut mendesak agar Israel menghentikan serangan terhadap sekutu-sekutunya di rantau tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button