BERITA SEMASALUAR NEGARA

Angkatan Bersenjata Iran lancar serangan balas terhadap Israel

TEHRAN – Angkatan Bersenjata Republik Islam Iran mula melancarkan serangan balas ke atas Israel malam tadi dalam satu operasi ketenteraan yang dinamakan “True Promise III” (Janji Benar III).

Menurut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) puluhan sasaran Israel, termasuk tapak ketenteraan dan pangkalan udara diserang secara tepat.

IRGC berkata, unit peluru berpandu dan dronnya telah menyasarkan pangkalan tentera Israel yang digunakan untuk melancarkan serangan ke atas Iran, serta kemudahan pembuatan senjata dan tapak ketenteraan lain di dalam wilayah Israel.

Kenyataan itu turut menyatakan bahawa maklumat risikan termasuk imej satelit mengesahkan puluhan peluru berpandu balistik mengenai sasaran seperti dirancang.

Semalam, rejim Israel melancarkan siri serangan ketenteraan di sekitar ibu negara Iran, Tehran serta beberapa bandar lain.

Menjangkakan tindak balas hebat dari Iran, Menteri Hal Ehwal Ketenteraan Israel, Israel Katz, mengisytiharkan darurat di seluruh Israel.

Tentera Israel juga melancarkan serangan menyasarkan pegawai tertinggi tentera Iran.

Pengerusi Ketua Turus Angkatan Tentera Iran Mejar Jeneral Mohammad Baqeri dan Panglima Tertinggi IRGC Mejar Jeneral Hossein Salami terbunuh dalam serangan di Tehran.

Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei melantik pegawai tertinggi tentera yang baharu pada hari yang sama.

Sebelum serangan Iran bermula, Ayatollah Khamenei dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen tempatan menegaskan bahawa rejim Israel tidak akan terlepas daripada pembalasan atas tindakannya terhadap Iran.

“Tindakan tegas harus dan akan diambil,” katanya. “Kami tidak akan berlembut. Kehidupan mereka pasti menjadi suram,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button