BERITA SEMASA

Israel dakwa warga Gaza tiba di Afrika Selatan selepas ‘diluluskan negara ketiga’

JOHANNESBERG — Pihak berkuasa Israel memaklumkan 153 penduduk Gaza yang tiba secara mengejut di Afrika Selatan sebenarnya telah menerima kelulusan masuk daripada sebuah negara ketiga yang tidak didedahkan.

Jurucakap COGAT, Shimi Zuaretz berkata, kumpulan itu hanya dibenarkan meninggalkan Gaza selepas pihak berkuasa Israel menerima pengesahan bahawa sebuah negara ketiga bersedia menerima mereka.

Namun, beliau tidak mendedahkan identiti negara berkenaan.

Setibanya di Johannesburg pada Khamis, kumpulan warga Gaza itu ditahan dalam pesawat selama 12 jam kerana pasport mereka tidak mempunyai cop keluar Israel, menurut polis imigresen Afrika Selatan.

Mereka akhirnya dibenarkan turun selepas sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Gift of the Givers, menawarkan penginapan sementara.

NGO berkenaan berkata mereka tidak mengetahui siapa yang menempah penerbangan itu atau penerbangan terdahulu pada 28 Oktober yang membawa 176 warga Gaza.

Seorang pegawai Israel yang enggan dikenali pula memaklumkan pertubuhan yang menyelaras pemindahan itu telah menghantar visa negara ketiga kepada COGAT bagi semua penumpang.

Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa menyifatkan tindakan itu membangkitkan persoalan kerana kumpulan terbabit seolah-olah dihantar keluar secara tergesa-gesa.

“Mereka adalah warga Gaza yang secara misteri ditempatkan dalam pesawat melalui Nairobi sebelum tiba di sini,” katanya memetik Buletin TV3.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Afrika Selatan memaklumkan 130 daripada mereka memasuki negara itu, manakala 23 lagi meneruskan perjalanan ke destinasi lain.

Zuaretz menegaskan COGAT memudahcara rakyat Gaza meninggalkan wilayah itu melalui Israel ke negara yang bersedia menerima mereka, termasuk pesakit, pemegang dwi-kewarganegaraan dan pemilik visa negara ketiga.

Menurutnya, Israel bertindak berdasarkan permintaan daripada negara asing dan lebih 40,000 penduduk Gaza telah dibenarkan keluar sejak serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Afrika Selatan, yang mempunyai komuniti Yahudi terbesar di sub-Sahara Afrika, terkenal dengan sokongan mereka terhadap perjuangan Palestin.

Pada 2023, negara itu pernah memfailkan kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), menuduh Israel melakukan genosid di Gaza.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button