BERITA SEMASA

Isu surat MBIP guna Bahasa Cina berita lama – Mohd Jafni

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor menegaskan isu surat rasmi Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) menggunakan Bahasa Cina yang kembali tular di media sosial merupakan kes lama yang berlaku pada 2018 dan bukan di bawah pentadbiran kerajaan negeri ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, perkara itu berlaku ketika Johor berada di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, susulan isu berkenaan, Sultan Johor telah bertitah dengan tegas supaya semua urusan surat-menyurat rasmi melibatkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

“Titah tersebut terus dijunjung dan menjadi panduan kepada seluruh jentera pentadbiran negeri sehingga hari ini.

“Kerajaan Negeri Johor sentiasa menjunjung titah Sultan Johor serta menghormati dan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam semua urusan pentadbiran kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Jafni berkata, surat yang kembali tular itu turut memaparkan nama bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling daripada DAP, Cheo Yee How sebagai antara pihak yang terlibat dalam program berkenaan.

“Justeru, cubaan untuk menggambarkan seolah-olah isu tersebut berlaku di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Johor hari ini adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan masyarakat.

“Fakta yang jelas menunjukkan kejadian tersebut berlaku pada tahun 2018 ketika Johor ditadbir oleh Pakatan Harapan,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan semula maklumat lama tanpa konteks yang tepat sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi bukan sekadar memenuhi kehendak undang-undang, malah mencerminkan penghormatan terhadap Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 serta institusi Raja-Raja Melayu.

“Kerajaan Negeri Johor akan terus memastikan setiap agensi di bawah pentadbirannya mematuhi dasar, peraturan dan titah yang telah ditetapkan demi memelihara kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu, menjunjung Bahasa Melayu serta mengekalkan keharmonian negeri,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button