Jeti baharu MAWILLA 2 dijangka siap pertengahan 2026
SANDAKAN – Jeti baharu Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) yang mula dibina pada 2022 dijangka siap menjelang pertengahan 2026 dengan kos pembinaan bernilai RM122.9 juta.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jeti sepanjang 300 meter itu akan memperkukuh keupayaan dan kesiapsagaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam rondaan maritim, meningkatkan pengurusan logistik dan memastikan tindak balas lebih pantas terhadap sebarang ancaman keselamatan di perairan pantai timur Sabah.
“Pembinaan jeti MAWILLA 2 ini penting untuk disiapkan kerana ia merupakan markas yang menjaga soal keselamatan pertahanan laut negara di kawasan ini.
“Markas ini juga merupakan markas utama dalam mengawasi lautan negara melibatkan Laut China Selatan, Laut Sulawesi dan Laut Sulu.
“Perancangan jeti ini bagi membolehkan ia menampung pertambahan atau penempatan kapal dengan perancangan awal mempunyai 20 kapal tentera laut bagi memastikan ia dapat melaksanakan operasi secara berkesan,” katanya selepas melawat tapak projek tersebut semalam.

Dalam lawatan yang sama, Mohamed Khaled turut menyampaikan Sumbangan Kebajikan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kepada anggota TLDM dan keluarga yang menghidap penyakit kronik serta anak-anak OKU sebagai tanda keprihatinan dan untuk meringankan beban mereka.
Lawatan beliau turut merangkumi Ladang Nak di Sandakan milik Boustead Plantations Berhad (BPlant), salah satu syarikat di bawah LTAT bagi mendengar taklimat mengenai operasi dan pembangunan ladang tersebut.
Secara keseluruhan, lawatan tersebut menekankan komitmen Kerajaan MADANI dan Kementerian Pertahanan dalam memperkukuh kesiagaan pertahanan negara serta meningkatkan kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












