BERITA SEMASA

JHEAIPP larang persatuan kuil anjur rumah terbuka Aidilfitri

GEORGE TOWN – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) tidak membenarkan persatuan kuil menganjurkan majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri atas alasan sambutan itu merupakan aktiviti keagamaan umat Islam.

Pengarahnya, Datuk Marzuki Hassan berkata, pihaknya menerima aduan daripada Persatuan Anak Jati Melayu berhubung penganjuran acara oleh Tean Hock Keong Association.

“Disebabkan sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah salah satu aktiviti keagamaan masyarakat Islam, Tean Hock Keong Association tidak dibenarkan menganjurkan majlis rumah terbuka tersebut.

“Sebarang aktiviti berkaitan agama Islam, termasuk sambutan Hari Raya Aidilfitri, perlu mendapatkan kebenaran daripada Majlis Agama Islam Pulau Pinang,” katanya dalam surat bertarikh 31 Mac.

Bagaimanapun, persatuan berkenaan dalam maklum balas bertarikh 5 April menjelaskan bahawa penganjuran rumah terbuka itu bertujuan memupuk perpaduan, mengeratkan hubungan serta memperkukuh keharmonian dalam komuniti setempat.

Setiausahanya, Ng Choong Seong berkata, program tersebut dirancang dengan teliti selepas mendapatkan nasihat daripada Jabatan Perpaduan Negara Pulau Pinang serta melalui perbincangan dengan pihak masjid, surau dan wakil komuniti tempatan yang pada awalnya bersetuju.

Menurutnya, makanan yang disediakan juga adalah halal dan dikendalikan oleh perkhidmatan katering tempatan sebagai sokongan kepada komuniti setempat.

Selain itu, persatuan tersebut turut bersetuju untuk mengubah poster asal termasuk tajuk program, nama penganjur dan lokasi selepas menerima maklum balas bahawa versi terdahulu kurang sesuai.

“Kami kesal apabila terdapat aduan yang menyebabkan program bermakna ini terpaksa dibatalkan.

“Walaupun kami telah bersetuju membuat pindaan, kami tetap menghormati keputusan JHEAIPP untuk membatalkan program ini, walaupun tujuan utamanya adalah untuk memupuk perpaduan,” katanya memetik laporan FMT.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button