JPJ Johor keluarkan 5,744 saman sepanjang Ops Khas Aidiladha
JOHOR BAHRU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor mengeluarkan sebanyak 5,744 saman atas pelbagai kesalahan sepanjang Ops Khas Sempena Hari Raya Aidiladha 2025 yang dijalankan dari 4 hingga 10 Jun lalu.
Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan berkata, kesalahan paling banyak dikesan ialah tiada lesen memandu kompeten (CDL) iaitu sebanyak 1,264 saman atau 22 peratus daripada jumlah keseluruhan.
“Kesalahan lain termasuk gagal memperbaharui atau tiada Lesen Memandu Malaysia (LMM) sebanyak 1,163 saman (20 peratus), tiada perlindungan insurans sebanyak 1,021 saman (18 peratus) serta tiada lesen vokasional sebanyak 134 kes,” katanya dalam satu kenyataan.
Turut dikenakan saman ialah sembilan kesalahan utama jalan raya, antaranya memotong di garisan berkembar (15), tidak mematuhi lampu isyarat merah (7), menggunakan lorong kecemasan (8), serta menggunakan telefon bimbit semasa memandu (9).
Selain itu, JPJ turut mengesan 142 kes tidak memakai topi keledar, 61 kes tidak memakai tali pinggang keledar dan 72 kesalahan lain berkaitan pemakaian topi keledar, selain 1,993 kesalahan lain.
Sepanjang tempoh operasi, sebanyak 45,395 kenderaan diperiksa dan 83 sitaan dilakukan melibatkan motosikal (66), kereta (9) dan lain-lain kenderaan (8).
Menurut Azmil, JPJ Johor komited meminimumkan kadar kemalangan dan kematian jalan raya melalui pelaksanaan penguatkuasaan secara terancang dan berterusan.
“Fokus operasi kali ini tertumpu kepada pematuhan syarat keselamatan serta aspek kenderaan dipandu dengan selamat mengikut peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan kaedah-kaedah berkaitan.
“JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu, syarikat atau pemilik kenderaan yang masih gagal mematuhi undang-undang,” tegasnya.
Aduan berkaitan kesalahan jalan raya boleh dibuat secara terus melalui aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau emel aduantrafik@jpj.gov.my lengkap dengan maklumat aduan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












