“Jumpa di mahkamah” – Uqasha Senrose enggan ulas isu perceraian
KUALA LUMPUR – Pelakon popular Uqasha Senrose memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai dakwaan bahawa dia telah memfailkan perceraian terhadap suaminya, aktor Kamal Adli sebaliknya meminta semua pihak menunggu keputusan mahkamah.
“Tak nak cakap apa-apa, jumpa saja di mahkamah,” katanya ringkas memetik laporan Kosmo! Online.
Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, turut menegaskan bahawa dia tidak akan mengesahkan atau menafikan perkara tersebut.
“Saya tidak mengiyakan atau menidakkan perkara terbabit,” katanya sebelum menamatkan panggilan telefon.
Difahamkan, pelakon drama Tundukkan Playboy Itu itu hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur hari ini bagi menghadiri prosiding sebutan pertama kes perceraiannya.
Laporan sebelum ini menyebut Uqasha telah memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal, 39, pada 1 Oktober lalu.
Rumah tangga pasangan selebriti itu dikatakan mula bergolak sejak April lalu, namun sumber terdekat memaklumkan ia bukan berpunca daripada kehadiran orang ketiga.
Uqasha kini difahamkan tinggal bersama ibunya.
Sebelum ini, beberapa hantaran berbentuk luahan hati oleh Uqasha di media sosial mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminat yang mengaitkannya dengan keretakan rumah tangga mereka.
Namun, ketika ditemui media selepas menghadiri program MeleTOP malam tadi, Uqasha tetap memilih untuk berdiam diri.
Uqasha dan Kamal mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dalam satu majlis di Janda Baik, Pahang. Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang kini berusia 18 bulan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









