Jurutera Malaysia terima anugerah di pentas kejuruteraan ASEAN
KUALA LUMPUR – Keunggulan Malaysia dalam dunia kejuruteraan sekali lagi diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali menerima Anugerah ASEAN Engineer Excellence Award (AEEA).
Menurut Lembaga Jurutera Malaysia (LJM), penganugerahan itu bukan sahaja membanggakan negara, malah mengiktiraf sumbangan besar Ahmad Tajuddin terhadap kemajuan dan pembangunan profesion kejuruteraan di Malaysia dan ASEAN.
“Anugerah itu diberikan kepada jurutera berdaftar di bawah ASEAN Chartered Professional Engineer (ACPE) yang menunjukkan kecemerlangan luar biasa dalam bidang masing-masing, termasuk daripada sektor akademia,” katanya dalam kenyataan.
Anugerah berprestij itu disampaikan bersempena 111th ASEAN Coordinating Committee on Services (ASEAN CCS) dan siri mesyuarat berkaitan yang menghimpunkan jurutera profesional dari seluruh rantau Asia Tenggara pada Majlis Makan Malam Gala di Nha Trang, Vietnam, semalam.
Selain Malaysia, penerima lain bagi anugerah berkenaan ialah dari Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura dan Thailand, dengan calon penerima wajib berdaftar sebagai ACPE dan dicalonkan oleh ASEAN Chartered Professional Engineer Coordinating Committee (ACPECC).
LJM menambah, pengiktirafan itu menyerlahkan kepimpinan Malaysia dalam arena kejuruteraan serantau serta mencerminkan komitmen berterusan negara memperkukuh standard profesional, memperluas inovasi dan mempererat kerjasama kejuruteraan ASEAN.
“LJM kekal komited menegakkan integriti, profesionalisme dan kecemerlangan dalam bidang kejuruteraan di Malaysia.
“Selain itu, LJM juga akan terus memacu agenda inovasi, pembangunan kapasiti dan kemampanan demi kemajuan negara serta kesejahteraan komuniti ASEAN,” menurut kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












