Kanak-kanak cedera digigit anjing di Puchong, pemilik ditahan
PUCHONG – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera selepas digigit seekor anjing di kawasan perumahan Lake Edge, Puchong, semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, kejadian berlaku pada pukul 8.10 pagi ketika mangsa berjalan pulang ke rumah bersama neneknya selepas bermain di taman permainan berdekatan.
“Anjing jenis kacukan German Shepherd itu dipercayai keluar sendiri dari rumah pemilik sebelum menggigit betis kiri mangsa sehingga menyebabkan kecederaan serius,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Siasatan mendapati pemilik anjing seorang wanita tempatan berusia 60 tahun, tidak mempunyai lesen anjing yang sah daripada pihak berkuasa tempatan.
Wanita terbabit ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana cuai mengawal haiwan peliharaan.
Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Tambah Muhamad Farid, pemilik haiwan peliharaan bertanggungjawab memastikan haiwan mereka tidak mendatangkan bahaya kepada orang awam.
“Orang ramai dinasihatkan lebih berwaspada dalam mengurus haiwan peliharaan masing-masing bagi mengelak insiden seumpama itu berlaku.
“Mereka juga digalak menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dengan menghubungi IPD Serdang di talian 03-8074 2222 atau balai polis berhampiran,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






