BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Kapal Indonesia bawa bijih timah RM1.5 Juta ditahan di perairan Mersing

MERSING – Sebuah kapal kargo dari Indonesia yang membawa muatan serbuk bijih timah dianggarkan bernilai lebih RM1.5 juta ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas dikesan berlabuh tanpa kebenaran di perairan Pulau Pemanggil, di sini Ahad lalu.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, kapal tersebut ditahan sekitar jam 1.30 petang oleh pasukan rondaan Maritim Malaysia ketika melaksanakan Op Jaksa dan Op Tiris.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati kapal kargo berkenaan yang berlayar dari Tanjung Pinang, Indonesia, membawa kira-kira 10,240 kilogram serbuk bijih timah untuk dihantar ke jeti Tanjung Gemok, Rompin, Pahang.

Biji timah seberat lebih 10,000 kilogram yang dirampas.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kapal terbabit tidak memiliki kebenaran daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia untuk berlabuh, selain gagal mengemukakan dokumen sah bagi membawa masuk barangan import ke negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, nakhoda bersama empat kru, masing-masing warga Indonesia berusia antara 23 hingga 47 tahun, ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Imigresen 1959/63. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sekurang-kurangnya 10 kali nilai barang atau RM50,000 (mana yang lebih tinggi), penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Suhaizan menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyeludupan atau pelanggaran undang-undang di laut, dan akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan di seluruh Zon Maritim Malaysia (ZMM).

“Orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di 07-219 9404,” tambahnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button