SUKAN

KBS perketat kawal selia sukan tempur, penganjuran ‘War Zone’ akan diproses mengikut peraturan baharu

PUTRAJAYA – Penganjuran acara sukan tempur “War Zone” akan diproses mengikut peraturan dan garis panduan keselamatan yang baharu ditetapkan, termasuk larangan penglibatan atlet bawah umur 15 tahun dalam acara ‘full contact’ tanpa perlindungan penuh.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, keputusan itu dibuat susulan kebimbangan masyarakat terhadap keselamatan atlet kanak-kanak yang terlibat dalam sukan tempur berisiko tinggi seperti tinju, Muay Thai, kickboxing dan seni bela diri campuran (MMA).

Menurutnya, pihak penganjur “War Zone” telah menghantar permohonan rasmi kepada Pesuruhjaya Sukan dan proses kelulusan akan dijalankan seperti biasa, dengan penilaian ketat terhadap pematuhan aspek keselamatan, kelulusan badan sukan kebangsaan serta pematuhan Akta Pembangunan Sukan 1997.

“Pesuruhjaya Sukan mempunyai tempoh 30 hari untuk memproses permohonan ini seperti penganjur lain. Kita akan meneliti sama ada acara itu mendapat sanksi daripada persatuan sukan kebangsaan masing-masing dan mematuhi semua syarat keselamatan.

“Selepas hari ini, tiada lagi acara dibenarkan melibatkan kanak-kanak bawah 15 tahun tanpa perlindungan keselamatan penuh serta tanpa kelulusan rasmi,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Pesuruhjaya Sukan, Ariffin Ghani, Presiden Muay Thai Kebangsaan, Datuk Shanaz Jullahaideh, Timbalan Ketua Setiausaha KBS, Abdullah Hasan, serta Pegawai Undang-Undang KBS, Nurmi Aini.

Hannah menjelaskan, keputusan untuk memperketat kawal selia ini dibuat bagi memperkukuh tadbir urus dan memastikan keselamatan penganjuran sukan tempur dijalankan secara profesional, beretika dan berlandaskan undang-undang.

“Walaupun acara seperti ini menarik minat ramai penonton dan memberi impak ekonomi positif, KBS tidak akan berkompromi dengan keselamatan, integriti serta kebajikan atlet, terutamanya kanak-kanak,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, kementerian telah mengenal pasti beberapa kelemahan dalam penganjuran acara sukan tempur sebelum ini termasuk ketiadaan kontrak sah antara atlet dan penganjur, padanan regu tidak seimbang, serta amalan tidak sihat seperti penurunan berat badan secara melampau sebelum perlawanan.

“Antara langkah utama yang diambil ialah memastikan setiap penganjur mematuhi syarat ketat melibatkan penggunaan peralatan keselamatan penuh, sanksi daripada badan sukan kebangsaan serta pemantauan oleh Pesuruhjaya Sukan,” katanya lagi.

Selain itu, Pejabat Pesuruhjaya Sukan akan memulakan pengumpulan data menyeluruh merentas semua disiplin sukan tempur melibatkan jumlah kejohanan, kadar kecederaan dan rekod kesihatan atlet.

Data itu akan menjadi asas kepada pembangunan dasar serta garis panduan baharu bagi memperkukuh standard keselamatan dalam sukan tempur tempatan.

“Kita mahu elak situasi di mana kanak-kanak yang mengalami kecederaan atau ‘knockout’ dalam sesuatu kejohanan dibenarkan berlawan semula dalam tempoh singkat. Ia amat berbahaya dan tidak beretika,” katanya lagi.

Menurut Hannah, langkah itu turut diambil selepas menerima banyak aduan awam serta perhatian daripada pelbagai kementerian dan agensi termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pendidikan, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan atlet muda.

“YB Nancy Syukri dan YB Fadhlina Sidek turut menyatakan kerisauan mereka tentang isu eksploitasi dan keselamatan kanak-kanak dalam acara seumpama ini.

“Oleh itu, KBS bertindak segera bagi memperketat pengawasan,” katanya lagi.

Hannah turut berkata, langkah yang diumumkan hari ini bukan untuk menyekat pembangunan atlet muda, sebaliknya memastikan penganjuran acara sukan tempur di Malaysia mematuhi piawaian antarabangsa serta mengutamakan kebajikan atlet.

“Sukan tempur adalah disiplin yang dikawal di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997. Ia tidak boleh dianggap sekadar hiburan atau tarikan komersial semata-mata,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, selepas pengumuman ini, mana-mana acara baharu termasuk “War Zone” akan dinilai berdasarkan pematuhan penuh terhadap garis panduan baharu yang menekankan aspek keselamatan, kelulusan rasmi dan perlindungan menyeluruh kepada atlet.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button