BERITA SEMASA

KDN keluar perintah larangan dua buku berunsur komunisme

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan perintah larangan terhadap dua buah buku yang didapati mengandungi unsur ideologi komunisme di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

KDN dalam satu kenyataan berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap buku Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen Ke-10 dan Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah dibuat demi kepentingan keselamatan dan ketenteraman awam.

“Tindakan penguatkuasaan tidak tertakluk kepada tempoh penerbitan, sebaliknya dilaksanakan berdasarkan penilaian semasa terhadap kandungan serta implikasinya kepada keselamatan dan ketenteraman awam.

“Dalam hal ini, setiap tindakan diambil secara sah, teliti dan berasaskan peruntukan undang-undang serta kepakaran berkaitan,” kata KDN dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil pemantauan dan maklumat risikan mendapati bahan berunsur komunisme kini mula beredar secara lebih terbuka di pasaran.

“Perkembangan mutakhir menunjukkan kecenderungan untuk menormalisasi serta mengagung-agungkan fahaman tersebut yang jelas bertentangan dengan kepentingan keselamatan negara,” jelasnya.

Dalam pada itu, KDN menolak dakwaan bahawa tindakan penguatkuasaan tersebut bertujuan menyekat kebebasan intelektual atau wacana ilmiah.

“Tindakan ini adalah langkah pencegahan yang perlu bagi melindungi masyarakat daripada penyebaran fahaman yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.

“KDN tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan untuk menyebar, mempromosi atau menghidupkan semula ideologi yang bertentangan dengan undang-undang,” tegas kenyataan itu lagi.

Tambah KDN, siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap kedua-dua penerbitan termasuk melibatkan pihak penerbit bagi memastikan pematuhan kepada keperluan perundangan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membesar-besarkan isu berkenaan atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan sehingga mencetuskan polemik awam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button