KDN sahkan letupan di Kulim berpunca daripada pembakaran bahan piroteknik dilarang jual
PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan insiden letupan mercun di Paya Besar, Kulim baru-baru ini berpunca daripada pembakaran bahan letupan disyaki jenis piroteknik yang tidak dibenarkan dijual kepada orang awam.
KDN menegaskan penjualan, pemilikan dan penggunaan bunga api atau mercun yang tidak diluluskan adalah haram di bawah Akta Bahan Letupan 1957.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
“Dua suspek yang disyaki terlibat dalam pembakaran bahan letupan tanpa permit sah telah ditahan.
“Siasatan dijalankan merangkumi aspek kecuaian, pemilikan haram serta pengendalian bahan letupan tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
KDN memberikan amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang termasuk penarikan semula kelulusan syarikat pengendali bunga api gagal mematuhi peraturan.
Pada masa sama, KDN mengesahkan kejadian letupan bunga api yang berlaku di kawasan Paya Besar, Kulim, Kedah pada kelmarin.
“Insiden (di Paya Besar) melibatkan bahan letupan serta bunga api yang berlaku ketika orang ramai sedang menyaksikan pertunjukan bunga api di kawasan tersebut.
“Akibat letupan, seramai 22 orang mangsa cedera yang sebahagiannya menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Kulim, manakala selebihnya menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.
KDN berkata, orang awam serta penganjur aktiviti keramaian diingatkan supaya mengutamakan keselamatan dan mematuhi garis panduan KDN serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“KDN bersama dengan PDRM akan terus memantau situasi semasa sepanjang musim perayaan dan menyeru semua pihak agar mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
“KDN kekal komited untuk memperkukuh peranan menjaga keselamatan dalam negeri, melindungi kepentingan rakyat dan memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” kata kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












