KDN beri jaminan siasatan kes polis tembak tiga lelaki di Melaka akan ikut prosedur
PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan Saiasatan kematian tiga lelaki yang ditembak polis di Durian Tunggal, Melaka, pada 24 November lalu akan dijalankan mengikut prosedur ketat termasuk Perintah Tetap Ketua Polis Negara dan peraturan dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Bukit Aman telah menubuhkan Jawatankuasa Penyiasat khas yang diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar, bagi mengambil alih siasatan daripada Kontinjen Melaka.
“Saya tak akan buat kesimpulan terlalu awal. Mereka ada tertib dari segi proses kerja untuk mengambil keterangan. Mereka akan siasat mengikut prosedur pasukan polis.
“Kalau ada yang terlibat itu (berdasarkan keterangan dan penemuan oleh jawatankuasa), tentulah dalam pasukan polis ini ada pelbagai ada Perintah Tetap Ketua Polis Negara, ada pelbagai peraturan,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN di Putrajaya, semalam.
Saifuddin menegaskan, sebagai menteri, beliau tidak akan mendahului proses klasifikasi siasatan di bawah seksyen undang-undang tertentu kerana ia adalah bidang kuasa penyiasat.
Dalam insiden berlaku sekitar jam 4 pagi pada 24 November di sebuah ladang sawit di Durian Tunggal, tiga lelaki maut ditembak polis ketika operasi dijalankan.
PDRM memberitahu ketiga-tiga lelaki itu adalah anggota “Geng Durian Tunggal”, yang aktif dalam lebih 20 kes rompakan bersenjata dengan kerugian dianggarkan RM1.3 juta.
Media melaporkan Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek ditembak selepas menetak seorang koperal yang cuba menahan mereka, menyebabkan anggota polis itu cedera parah di tangan kiri.
Namun keluarga salah seorang lelaki itu mencabar dakwaan tersebut dan menyerahkan rakaman audio berdurasi 13 minit 53 saat, dipercayai dirakam oleh isteri mangsa.
Mereka mendakwa tembakan polis itu tidak berdasarkan kepada prinsip “pertahan diri” dan menuntut siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta menggesa penubuhan Suruhanjaya Diraja (RCI).
Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk M Kumar kemudian mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Bukit Aman yang akan mengambil keterangan daripada semua pihak termasuk keluarga mangsa dan anggota polis yang terlibat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












