Keberanian itu daripada Allah, ralat tidak nampak Fattah jatuh – Acad
NILAI – “Semua keberanian itu datang daripada Allah. Cuma, saya ralat kenapa bukan saya yang nampak dia jatuh.”
Demikian luahan Muhammad Arsyad Jahaya, 35, atau Acad iaitu individu yang nekad turun ke dalam lubang kumbahan sedalam 1.8 meter untuk menyelamatkan seorang murid, Abdul Fattah Khairol Rizal, 9, yang terjatuh di sebuah sekolah kebangsaan di Lenggeng, Nilai, kelmarin.
“Bila terfikir detik-detik itu dan terbaca komen-komen, rasa terkilan itu sangat kuat sampai mengalir air mata.
“Kenapa bukan saya yang nampak adik Fattah jatuh. Harapan saya dapat keluarkan Fattah dalam keadaan bernyawa. Tapi Allah lebih tahu semuanya,” ujar Muhammad Arsyad kepada Malaysia Tribune.
Malah, dia turut menasihatkan netizen di luar sana agar menghentikan spekulasi negatif terhadap pihak sekolah.
“Beri ruang dan peluang kepada pihak berwajib untuk melakukan siasatan yang lebih terperinci.
“Sebagai seorang ayah, saya juga tak mampu nak tengok keadaan itu berlaku depan mata saya. Semuanya telah ditakdirkan,” katanya yang bekerja sebagai juruteknik.
Mengimbau semula kejadian itu, Muhammad Arsyad berkata, dia hadir ke sekolah untuk menyaksikan acara sukan yang disertai anaknya sebelum dimaklumkan guru mengenai kejadian itu.

“Walaupun ada orang cuba halang kerana bimbang saya tiada peralatan keselamatan, tapi saya nekad turun sendiri.
“Sewaktu kacau air dengan kayu yang dihulurkan orang di atas, tiba-tiba topi timbul, diikuti kasut. Waktu itu, saya yakin dia memang ada di bawah,” katanya.
Tambahnya, keadaan di dalam saluran longkang kumbahan itu gelap, airnya kotor dan berbau.
“Tapi saya tak fikir apa melainkan terus menyelam. Alhamdulillah, saya bersyukur dapat memaut lengannya untuk dibawa naik ke atas,” katanya lagi.
Menurut Muhammad Arsyad, sebenarnya dia masih dalam tempoh pemulihan akibat kemalangan yang dialami pada 25 Ogos lalu yang menyebabkan tisu lembut di rusuknya koyak.
Namun, keadaan itu langsung tidak dipedulikan kerana memikirkan ada nyawa yang perlu diselamatkan.
“Memang doktor pesan jangan angkat berat, jangan lasak-lasak. Tapi saya sendiri tak tahu macam mana saya boleh buat semua itu.
“Ketika di bawah, saya rasa macam ada yang bantu saya. Rasa terang, tak ada rasa takut langsung. Masa angkat mayat mangsa pun rasa sangat ringan, macam angkat sekeping kertas,” jelasnya lagi.

Terdahulu, media melaporkan Muhammad Arsyad merupakan individu yang nekad turun ke dalam lubang kumbahan bagi menyelamatkan murid lelaki tersebut.
Walaupun mangsa akhirnya meninggal dunia, namun keberanian lelaki itu menerima pujian ramai hingga videonya tular di media sosial.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, lapan individu telah dipanggil bagi membantu siasatan berhubung tragedi murid lelaki berusia sembilan tahun itu.
Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
Tragedi itu juga menyentuh hati bapa mangsa, Khairol Rizal Mustafar, 42, yang mendedahkan pertanyaan anak tunggalnya mengenai syurga selepas kematian, sambil menasihati anaknya yang lain untuk tidak memikirkan kematian ketika masih kecil.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |










