
Kejutan istimewa kerajaan: KSN minta orang ramai bersabar
KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta menunggu dengan sabar susulan bayangan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai satu pengumuman penting yang disifatkan sebagai penghargaan luar biasa untuk rakyat Malaysia.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar ketika diminta mengulas mengenai perkara itu berkata, pengumuman tersebut merupakan satu kejutan yang dijangka akan menggembirakan rakyat.
“Ia kejutan tetapi akan menggembirakan rakyat. Kalau ia untuk penjawat awam, ia akan menggembirakan penjawat awam, Insya-Allah,” katanya ringkas.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Tindakan Antarabangsa Ketiga Azman Hashim International Business School (AHIBS-ACT) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Tambah beliau, butiran lanjut masih belum dapat dikongsikan kerana pengumuman berkenaan masih ‘berkunci’.
“Saya bukan ‘magician’ (ahli silap mata). Tunggu, tunggu kerana ia surprise (kejutan). Ia berkunci penuh, tidak dapat dibuka,” ujarnya sambil tidak memperincikan tarikh sebenar pengumuman tersebut.
Baca juga : Kerajaan bakal buat pengumuman tanda penghargaan untuk rakyat
Terdahulu, Perdana Menteri menerusi satu hantaran ringkas di laman Facebook menyatakan hasrat untuk menyampaikan satu bentuk ‘hadiah’ kepada rakyat sebagai tanda penghargaan, dengan menyelitkan mesej kebersamaan menerusi frasa “Bersama Malaysiaku”.
Walaupun tiada maklumat terperinci dikongsikan, hantaran tersebut mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai bentuk kejutan yang bakal diumumkan.
Semalam, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan tertutup bersama pemimpin Pakatan Harapan (PH) bagi membincangkan beberapa perkara penting termasuk persiapan menghadapi sidang Parlimen akan datang.
Pertemuan itu merupakan kesinambungan sesi libat urus bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang berlangsung pada Jumaat lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












