JENAYAH & MAHKAMAH

Kekecohan di Sungai Besar berpunca tuntutan hutang, empat lelaki ditahan

SABAK BERNAM – Kekecohan membabitkan tiga lelaki dan seorang pemandu kereta di Jalan SBBC 3, Pekan Sungai Besar, pada petang semalam dipercayai berpunca daripada usaha menuntut hutang yang gagal diselesaikan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 4.30 petang sebelum laporan diterima pada jam 5.34 petang.

Menurutnya, tiga lelaki yang juga ahli keluarga kepada pemiutang bertemu pemandu kereta tersebut bagi menuntut bayaran hutang, namun perbincangan bertukar tegang sehingga mencetuskan pertengkaran dan tindakan agresif.

“Keempat-empat lelaki warga tempatan berusia antara 31 hingga 53 tahun ditahan di lokasi antara jam 5.20 hingga 6 petang pada hari sama,” memetik Sinar online.

Dalam insiden tular itu, pemandu kereta yang merupakan penghutang dilihat cuba melarikan diri dengan mengundur kenderaan sehingga melanggar sebuah kereta lain sebelum memecut ke hadapan dan hampir melanggar kumpulan terbabit.

Md Yusof berkata, tiga kereta mengalami kerosakan luaran selain kerosakan kecil pada kaki lima premis di lokasi kejadian.

‘Polis menerima makluman awal daripada orang awam sebelum anggota Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam hadir membuat laporan,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, polis sedang mengesan seorang lagi lelaki yang masih bebas bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan 279 Kanun Keseksaan. Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi dan menyerahkan siasatan lanjut kepada polis,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan empat lelaki ditahan susulan pergaduhan serta kekecohan yang tular di lokasi sama pada petang semalam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button