BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Keluarga nafi dakwaan Zara Qairina dimasukkan dalam mesin basuh, hanya spekulasi – Peguam

Keluarga turut rayu hentikan sebaran video, gambar dan maklumat palsu

CYBERJAYA – Keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir meminta orang ramai menghentikan penularan video, gambar dan maklumat yang tidak benar berkenaan kes tersebut.

Peguam yang mewakili keluarga, Tetuan Hamid Ismail dan Shahlan Jufri berkata, tindakan sedemikian hanya menambah tekanan dan kesedihan kepada anak guamnya.

“Kami meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan kes Zara untuk menyalurkan maklumat tersebut kepada polis untuk tujuan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengenai satu video tular di media sosial yang mendakwa Allahyarham didera dengan dimasukkan ke dalam mesin basuh, pihak keluarga berkata maklumat tersebut hanya satu spekulasi.

“Anak guam kami, iaitu ibu Zara, tidak pernah memberi maklumat sedemikian kepada sesiapa. Kami memohon wanita berkenaan menyalurkan maklumat itu kepada polis bagi tujuan siasatan,” kata kenyataan itu lagi.

Sementara itu, penyebaran gambar pelajar beserta kenyataan negatif terhadap mereka merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001, dan Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Penyebaran senarai nama pelajar-pelajar sekolah yang mengandungi maklumat peribadi mereka juga adalah satu kesalahan jenayah di bawah seksyen 130 Akta Perlindungan Peribadi 2010 dan seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Sehubungan itu, kepada mereka yang telah melakukan penyebaran di atas, kami memohon supaya video dan gambar tersebut dipadamkan,” kata kenyataan itu lagi.

BACA JUGA:
Audio disahkan peguam milik Zara Qairina dan ibunya: Dedah pelajar senior ‘Kak M’
Kes Zara Qairina: Keluarga dakwa siasatan polis ‘tidak lengkap’, mohon AGC pulangkan semula kertas siasatan
AGC terima kertas siasatan kes Zara Qairina
Keluarga Zara Qairina persoal siasatan polis, dakwa bukti penting tidak diambil
Influencer tidak wajar sebar spekulasi, isu ‘Diari Zara’ perlu siasatan menyeluruh – Mona Din

Allahyarham Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu setelah beberapa hari berada dalam koma setelah ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya, 16 Julai lalu.

Pada 31 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan, pihak polis tidak menolak kemungkinan wujud unsur buli dalam kejadian berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button