Kematian Muhammad Aakif Imran diklasifikasi sebagai SDR
SHAH ALAM – Polis mengklasifikasikan kes kematian kanak-kanak lelaki, Muhammad Aakif Imran Asrul Nizam yang ditemukan lemas di Sungai Bernam, Kampung Sungai Nilam, Gedangsa, Hulu Selangor sebagai mati mengejut (SDR).
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, mayat mangsa berusia sembilan tahun itu ditemukan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira jam 4.36 petang semalam.
Menurutnya, jasad mangsa ditemukan kira-kira 300 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh ke dalam sungai dengan kedalaman sekitar enam meter.
“Mayat mangsa berjaya dibawa keluar dari lokasi kejadian pada jam 5.10 petang sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika sedang bermain di tebing sebelum dihanyutkan arus deras.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu telah membuka Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa,” katanya lagi.
Operasi SAR melibatkan pelbagai agensi itu dijalankan sejak mangsa dilaporkan hilang sebelum mayatnya berjaya ditemukan pada petang semalam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












