BERITA SEMASAPOLITIK

Keputusan berprinsip Rafizi, Nik Nazmi wajar dihormati – Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad meletakkan jawatan sebagai menteri Kabinet selepas kalah dalam pemilihan PKR dilihat sebagai langkah berprinsip yang wajar dihormati, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, meskipun beliau tidak campur tangan dalam hal dalaman parti lain namun sebagai rakan dalam Kabinet, beliau menghargai keputusan kedua-dua pemimpin muda itu yang memilih untuk berundur secara terhormat.

“Mereka berpegang kepada prinsip. Itu janji mereka sejak awal. Walaupun ini urusan dalaman PKR, saya tetap hormat keputusan mereka,” katanya dalam sidang media di ibu negara malam tadi.

Tambah beliau, sepanjang berkhidmat dalam Kabinet, Rafizi dan Nik Nazmi memainkan peranan dengan beresan malah menyumbang secara kolektif dalam pelbagai keputusan kerajaan.

“Ketiadaan mereka nanti mungkin akan diisi semula dengan calon daripada PKR juga, bergantung kepada keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya lagi.

Untuk rekod, Rafizi semalam mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Menteri Ekonomi selepas gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu di Johor Bahru minggu lalu.

Beberapa jam selepas itu, Nik Nazmi turut meletakkan jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam setelah tewas dalam saingan 11 penjuru untuk jawatan Naib Presiden PKR.

Sebelum ini, Nik Nazmi tewas kepada selebriti popular Datuk Afdlin Shauki dalam perebutan jawatan Ketua Cabang PKR Setiawangsa.

Mengulas lanjut mengenai kekosongan dua jawatan dalam Kabinet itu, Zahid menjelaskan bahawa pelantikan baharu adalah hak mutlak Perdana Menteri.

“Pemimpin datang dan pergi. Begitu juga menteri. Saya percaya Perdana Menteri akan buat pilihan terbaik dalam kalangan pemimpin PKR untuk teruskan kesinambungan dalam Jemaah Menteri,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button