BERITA SEMASARENCANA

Keputusan silap, kurang pengalaman antara punca tragedi di gunung

KUALA LUMPUR – Tragedi menimpa pendaki, Allahyarham Mustaqeem Mansor, yang ditemukan meninggal dunia di puncak Gunung Liang, di Tanjung Malim kelmarin mencetuskan pelbagai persoalan mengenai tahap kecekapan pemandu gunung (MGP) serta semangat setiakawan dalam kalangan kumpulan pendaki.

Menurut pendaki berpengalaman, Rohana Man yang lebih dikenali sebagai Ana Man, keputusan kumpulan besar meninggalkan mangsa bersama seorang kawan dan seorang guide di puncak tanpa susulan lanjut merupakan kesilapan yang tidak seharusnya berlaku dalam sebarang ekspedisi mendaki.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima, arwah memulakan pendakian pada 10 Oktober bersama 10 rakan termasuk MGP berlesen dari Bukit Fraser ke Gunung Liang, dengan tempoh perjalanan dijangka empat hari.

Namun, Mustaqeem yang sebelum itu mengalami kesakitan pada bahagian kaki (membatas pergerakan) ditemui meninggal dunia pada 16 Oktober, iaitu dua hari selepas arwah sepatutnya sudah tiba ke rumah apabila kehilangan arwah disedari oleh isterinya.

“Arwah mengadu sakit kaki. Semua rakan kumpulan termasuk salah seorang guide turun (teruskan perjalanan) dan hanya seorang pendaki dan seorang guide ditinggalkan untuk menemaninya.

“Rakan arwah kemudian turun kerana tiada bantuan tiba. Kemudian guide pula turun meninggalkan arwah seorang diri di puncak.

“Bagi saya, itu keputusan kumpulan yang besar. Sepatutnya dua atau tiga orang kekal bersama arwah sementara bantuan tiba. Cuma yang menjadi persoalan kenapa bantuan tidak tiba, jika tidak dilaporkan itu lagi salah,” katanya.

Rohana Man

Ana berkata, dalam keadaan jika bantuan lewat tiba, satu atau dua orang boleh turun mendapatkan bantuan manakala seorang lagi boleh kekal menjaga mangsa dan itu adalah pilihan terakhir yang tinggal kerana mangsa yang sakit tidak boleh ditinggalkan bersendirian.

Namun dalam kes itu, selepas sehari menunggu, guide terpaksa meninggalkan Mustaqeem bersendirian bagi mendapatkan bantuan kecemasan.

Menurut Ana, dalam tempoh berkenaan tiada siapa yang tahu sama ada ada perkara itu dilaporkan atau ada bantuan diminta atau sebaliknya.

Sehinggalah pada 16 Oktober, isteri mangsa tampil membuat laporan polis selepas suaminya tidak pulang seperti dijadualkan.

“Dua ahli kumpulan naik semula untuk membantu mangsa tetapi terpaksa berpatah balik sebab kepenatan melampau dan hujan lebat.

“Bayangkan keadaan arwah yang cedera dan keseorangan di puncak,” katanya.

Ana Man yang berpengalaman lebih 25 tahun dalam dunia pendakian turut menegur tahap kesiapsiagaan MGP yang didakwa kurang pengalaman dalam membuat keputusan ketika berdepan situasi kecemasan.

“Kebijaksanaan membuat keputusan bukan diperoleh dari kursus Jabatan Perhutanan semata-mata, tetapi daripada pengalaman sebenar di gunung.

“Masalahnya ramai guide baru cuma pernah mendaki beberapa bukit santai tetapi sudah layak mendapat lesen,” ujarnya.

Aktiviti mendaki gunung menuntut semangat setiakawan yang tinggi bagi mengelak kemalangan tidak diingini.

Sehubungan itu, bekas wartawan Utusan Malaysia itu mencadangkan Jabatan Perhutanan menetapkan syarat lebih ketat bagi pemandu gunung, termasuk dengan hanya meluluskan mereka yang mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya lima tahun mendaki gunung-gunung lasak.

Selain itu, katanya, kumpulan pendaki perlu melantik seorang ‘sweeper’, iaitu ahli kumpulan yang bertanggungjawab memastikan semua peserta selamat sampai ke destinasi.

“Sweeper bukan tanggungjawab guide, tapi tanggungjawab ketua kumpulan atau penganjur pendakian (gogo). Gogo pun dibayar, jadi dia mesti pastikan keselamatan semua ahli.

“Dalam pendakian, jangan pentingkan diri. Kalau ada yang cedera, tanggungjawab bersama untuk pastikan dia selamat turun,” katanya lagi.

Menutup coretannya di Facebook semalam, Ana Man menzahirkan rasa simpati kepada keluarga Allahyarham dan menyeru komuniti pendaki agar menjadikan insiden itu sebagai pengajaran untuk memperkukuh budaya keselamatan serta semangat setiakawan.

“Semoga dunia hiking kita tidak dicemari lagi dengan insiden seumpama ini. Salam takziah buat keluarga arwah Mustaqeem. Al-Fatihah,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button