BERITA SEMASA

Kerajaan bawa ikan dari Sabah ke Semenanjung

KLANG – Kerajaan sedang merangka beberapa langkah bagi memastikan rakyat di Semenanjung dapat menikmati bekalan ikan pada harga yang lebih berpatutan, khususnya ikan kegunaan harian.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, antara usaha yang sedang diperhalusi ialah membawa bekalan ikan seperti kembung, selar dan sembilang dari Sabah, khususnya dari Sandakan dan Tawau, yang didapati dijual pada harga lebih rendah berbanding pasaran di Semenanjung.

Menurut beliau, langkah itu bukan sahaja mampu menstabilkan harga ikan di pasaran, malah membantu meningkatkan pendapatan serta ekonomi nelayan tempatan di negeri berkenaan.

“Saya dapati harga barangan keperluan harian, khususnya ikan, masih agak tinggi dan kita sedang mencari jalan supaya ia dapat ditawarkan pada harga yang lebih murah. Sayur-sayuran pula masih berada pada tahap harga yang sederhana,” katanya selepas meninjau Program Semarak Ramadan MADANI Peringkat Kebangsaan @ Pasar Tani Taman Sri Andalas, di sini hari ini.

Mohamad berkata, pelaksanaan inisiatif tersebut memerlukan perancangan rapi termasuk penyediaan fasiliti serta perbincangan bersama syarikat penerbangan bagi melancarkan urusan logistik penghantaran bekalan ikan dari Sabah ke Semenanjung.

“Kita memerlukan sedikit masa kerana ia melibatkan penyediaan kemudahan serta perbincangan dengan pihak berkaitan, khususnya dalam aspek logistik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata perbincangan secara intensif turut dijalankan bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi memastikan usaha berkenaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Mengulas penganjuran Program Semarak Ramadan MADANI, Mohamad berkata program tersebut akan dilaksanakan di 680 lokasi Pasar Tani di seluruh negara sehingga 18 Februari ini, melibatkan penyertaan 10,600 usahawan dengan sasaran nilai jualan keseluruhan mencecah RM50 juta.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button