BERITA SEMASA

Kerajaan buka RM2 bilion dana HRD untuk gaji graduan mulai 1 September – Steven Sim

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim mengumumkan kerajaan akan membuka sehingga RM2 bilion daripada dana levi HRD sebagai hadiah Merdeka kepada majikan untuk menggaji graduan universiti serta lepasan TVET mulai 1 September 2025.

Menurutnya, majikan kini boleh menggunakan wang levi tersebut bagi membayar gaji pekerja baharu, sekali gus membantu aliran tunai syarikat selain memberi latihan di tempat kerja kepada graduan Malaysia.

“Saya berharap langkah itu bukan sahaja membantu majikan meningkatkan keupayaan perniagaan, malah meletakkan premium lebih tinggi terhadap modal insan, mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi dan membina tenaga kerja berkemahiran,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-57 Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), semalam.

Dalam ucapannya, beliau turut berkongsi anekdot lama mengenai pengawal kilang dan kereta sorong yang disifatkannya sebagai peringatan agar semua pihak tidak terlepas pandang kepentingan modal insan dalam mengejar produktiviti berasaskan teknologi.

“Kadangkala kita sibuk melihat teknologi dalam pengeluaran tetapi terlupa nilai buruh dan modal insan. Inilah sebenarnya ‘kereta sorong’ yang hilang tanpa kita sedar,” ujarnya.

Menurut Sim, kemunculan Kecerdasan Buatan (AI) seperti pelancaran ChatGPT 5.0 pada 7 Ogos lalu membuktikan bagaimana teknologi sudah mampu menggantikan tugas konvensional ahli akademik atau pakar termasuk penulisan kod, reka bentuk, matematik kompleks dan penulisan ucapan.

“AI boleh lakukan semua itu lebih cepat daripada manusia, sekali gus menjejaskan nilai isyarat (signaling value) kelayakan akademik. Ini mengesahkan laporan KESUMA tahun lalu mengenai impak AI, digitalisasi dan ekonomi hijau terhadap pasaran kerja Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia sudah pun berbelanja sehingga RM77.2 bilion dalam bidang digitalisasi sehingga akhir tahun lalu dan dalam tempoh setahun berjaya menarik pelaburan besar daripada gergasi teknologi dunia termasuk Google, Microsoft, Bytedance dan Amazon dengan komitmen melebihi RM60 bilion.

Melalui Strategi Semikonduktor Negara pula, katanya, Malaysia menerima RM46.5 bilion pelaburan dalam sektor bernilai tinggi seperti fabrikasi wafer, cip AI dan pengeluaran litar bersepadu.

“Kita lihat hasilnya apabila ekonomi berkembang 5.1 peratus tahun lalu manakala untuk dua suku pertama tahun ini kekal pada kadar 4.4 peratus walaupun dunia berdepan suasana muram,” ujar Sim.

Beliau menegaskan, sektor pembuatan kekal sebagai pemacu utama pembangunan negara dengan kadar pertumbuhan 4.2 peratus tahun lalu, 4.1 peratus pada suku pertama tahun ini dan 3.7 peratus pada suku kedua, menyumbang 2.5 juta pekerjaan di mana lebih 90 peratus adalah pekerjaan berkemahiran sederhana hingga tinggi.

Katanya, pelancaran RMK13 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggariskan aspirasi Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030 memberi prospek cerah kepada sektor pembuatan.

“Antara sasaran ialah pertumbuhan sektor pembuatan kepada 5.8 peratus dengan nilai melebihi RM522 bilion, peningkatan produktiviti dengan KDNK per kapita RM77,000 serta penciptaan 1.2 juta pekerjaan berkemahiran tinggi,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau turut menekankan kepentingan dasar buruh progresif seperti fleksibiliti kerja yang semakin menjadi pilihan pekerja Malaysia berdasarkan tinjauan Hays 2024.

“Di pasaran kerja yang ketat dengan persaingan bakat terbuka, syarikat yang menekankan nilai buruh dan mengamalkan polisi progresif akan berjaya menarik tenaga kerja terbaik,” katanya.

Mengakhiri ucapannya, Steven Sim mengulangi pesanan utama kepada majikan: “Fokus pada modal insan, kerana itu sebenarnya kereta sorong yang paling bernilai.”

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button