Kerajaan disaran tumpu sukan sesuai kemampuan fizikal rakyat Malaysia
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyarankan kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan sukan yang lebih sesuai dengan keupayaan fizikal rakyat Malaysia dalam usaha memburu pingat emas pertama di pentas Olimpik.
Menurut beliau, Malaysia perlu bersikap realistik dalam menentukan acara yang mempunyai potensi tinggi untuk dikuasai atlet tempatan, khususnya sukan yang tidak terlalu bergantung kepada kekuatan fizikal ekstrem.
Katanya, tumpuan sewajarnya diberikan kepada acara yang lebih bersifat teknikal, ketepatan dan konsistensi seperti memanah yang dilihat lebih sesuai dengan kemampuan atlet Asia.
“Tak guna kita fokus kepada sukan yang memerlukan kekuatan fizikal dan kelajuan luar biasa yang mungkin tidak dimiliki rakyat Malaysia.
“Tetapi acara seperti memanah adalah antara sukan yang boleh dianggap lebih subjektif dan sesuai untuk kita beri perhatian,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Muezza di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam itu berkata, perkembangan sukan memanah dunia ketika ini turut membuktikan dominasi negara Asia yang semakin ketara dalam acara tersebut.
Menurutnya, jika dahulu sukan itu banyak dikuasai negara Barat seperti Finland, Perancis dan Amerika Syarikat, kini kuasa besar memanah dunia terdiri daripada negara Asia termasuk Korea Selatan, India, China dan Taiwan.
Justeru beliau berharap program Road to Gold (RTG) bagi sukan memanah akan diteruskan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia bagi merealisasikan impian negara untuk menghadiahkan pingat emas Olimpik pertama buat Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












