BERITA SEMASAPMX

Kerajaan naikkan peruntukan RMK12

Tambah keperluan biayai bidang keutamaan rakyat

KUALA LUMPUR – Peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dinaikkan sebanyak RM15 billion kepada RM415 bilion, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata Anwar, peningkatan itu adalah bagi menambah keperluan untuk membiayai bidang keutamaan rakyat di samping memperbaiki mutu pengurusan dan menyasarkan semula subsidi bagi menampung keperluan asas rakyat.

“RMK12 akan dijajarkan semula dengan visi Ekonomi Madani, yang menyasarkan pemerkasaan dan merancakkan ekonomi negara untuk tempoh 10 tahun.

“Justeru, kerajaan komited untuk membelanjakan sekurang-kurangnya RM90 bilion setahun bagi tahun 2023 hingga 2025,” kata Anwar di Parlimen sewaktu membentangkan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK12 2021-2025, hari ini.

Usul KSP RMK12 yang dibentangkan hari ini adalah bagi menyemak semula dasar, strategi dan sasaran secara menyeluruh dengan mengambil kira kesenjangan pembangunan kota, desa dan pedalaman dan juga miskin-kaya yang masih wujud, hutang yang membengkak, ruang fiskal yang terhad dan peralihan struktur ekonomi yang perlahan

Kata Perdana Menteri lagi, RMK12 memperuntukkan RM400 bilion bagi membiayai projek pembangunan sambungan dan baharu untuk tempoh lima tahun.

Dan bagi tempoh dua tahun yang pertama, kerajaan telah membelanjakan sejumlah 34 peratus daripada peruntukan, katanya.

“Pada tahun 2021, jumlah perbelanjaan pembangunan hanyalah sebanyak RM64.3 bilion, sementara pada tahun 2022 jumlahnya adalah sebanyak RM71.6 bilion,” katanya.

Menurut Anwar, dalam masa yang singkat juga, pelbagai langkah proaktif telah diambil oleh kerajaan untuk mengembalikan Malaysia ke landasan pertumbuhan yang betul.

Hasilnya, dalam tempoh separuh pertama tahun 2023, keluaran dalam negeri kasar (KDNK) negara telah mencatat peningkatan sebanyak 4.2 peratus, didukung oleh kegiatan sektor swasta dan perdagangan yang baik, kata Perdana Menteri.

Beliau berkata prestasi pasaran buruh juga semakin baik dengan kadar produktiviti yang lebih tinggi, iaitu 3.7 peratus setahun bagi tempoh 2021-2022, manakala kadar pengangguran menurun kepada 3.5 peratus pada suku kedua tahun 2023.

“Malah, kadar inflasi pada Julai 2023 telah menurun kepada 2.0 peratus, rekod terendah dalam tempoh 24 bulan.

“Pendapatan negara kasar per kapita lebih tinggi, iaitu RM52,968 (US$12,035) pada tahun 2022 berbanding RM42,838 (US$10,191) pada tahun 2020,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button