
Kerajaan pandang serius isu pengeluaran surat sokongan ada unsur rasuah – PM
KUALA LUMPUR – Kerajaan memandang serius isu pengeluaran surat sokongan yang mempunyai unsur rasuah dan salah guna kuasa sehingga menjejaskan imej pentadbiran negara, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, satu garis panduan pengendalian sokongan oleh anggota pentadbiran dalam urusan kerajaan akan dikeluarkan bagi menangani isu tersebut.
Jelas Anwar yang juga Menteri Kewangan, ia adalah bagi memastikan surat sokongan tidak disalahguna bagi tujuan kepentingan peribadi.
Terdahulu, Anwar telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) Siri 17 Bilangan 1 Tahun 2023 hari ini.
Tambah Anwar, mesyuarat turut bersetuju supaya Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dibentangkan secara berkala di Mesyuarat Jemaah Menteri bagi tindakan susulan diambil segera.
Katanya, ia akan dimulakan dengan LKAN tahun 2022 dengan format baharu lebih berstruktur supaya setiap isu dilaporkan dapat diambil tindakan lebih berkesan.
“Peranan jawatankuasa ini juga akan diperkasa dan dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN) yang akan dijadikan platform bagi menggalakkan amalan prinsip tata kelola baik supaya diambil kira dalam perancangan dan pembangunan dasar serta pelaksanaan inisiatif dan program oleh semua agensi di sektor awam.
“JKKTN juga akan diperkasa untuk meneliti isu-isu kelemahan tata kelola melibatkan Badan Berkanun termasuk Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), subsidiari dan entiti yang mempunyai kepentingan Kerajaan.
“Had bilangan Lembaga Pengarah yang boleh dianggotai oleh seseorang penjawat awam melibatkan badan berkanun, subsidiari dan entiti yang mempunyai kepentingan kerajaan juga akan dikaji semula bagi meningkatkan keberkesanan peranan penjawat awam dalam Lembaga Pengarah,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












