Kerajaan Persekutuan utamakan usaha selesai isu MA63 – Chan Foong Hin
KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan perlu terus mengutamakan usaha menyelesaikan segala isu tertunggak berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) demi memastikan hak Sabah terpelihara.
Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin berkata, perkara itu sejajar dengan komitmen yang ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam penerangan khas di Parlimen berhubung Pemberian Khas kepada Sabah.
“Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan akan menghormati proses perundangan serta meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
“Saya mengambil maklum kesungguhan kerajaan dalam menyelesaikan isu tertunggak MA63, memperkukuh kadar Pemberian Khas untuk Sabah serta meningkatkan peruntukan tahunan bagi operasi dan pembangunan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Foong Hin yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, sudah tiba masanya untuk Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah bekerjasama secara ikhlas dan penuh kepercayaan bagi memastikan hak-hak perlembagaan negeri dipertahankan melalui pelaksanaan yang telus.
“Saya berpandangan masa ini amat sesuai untuk kedua-dua pihak memperkukuh semangat perpaduan dalam melaksanakan rundingan yang jujur demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya lagi.
Beliau turut mencadangkan supaya Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKTMTPMA63) diberikan mandat mengetuai proses semakan tuntutan 40 peratus hasil bersih dalam tempoh 90 hari seperti ditetapkan Mahkamah Tinggi.
Foong Hin turut berkata, JKTMTPMA63 kini sedang merumuskan kaedah baharu bagi menentukan perkiraan Pemberian Khas pada masa depan yang lebih adil dan sejajar dengan semangat MA63.
Dalam masa sama, beliau menggesa Kementerian Kewangan supaya mendedahkan jumlah sebenar hasil persekutuan yang diperoleh daripada Sabah bagi memastikan ketelusan dan mengelakkan salah faham mana-mana pihak.
“Langkah ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, tetapi juga mencerminkan komitmen bersama untuk memastikan pembangunan saksama dan kemakmuran rakyat Sabah terus menjadi keutamaan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












