BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kerajaan rangka dasar baharu perkukuh keterjaminan makanan negara – PM Anwar

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang dalam proses memuktamad satu dasar baharu bagi sektor pertanian negara sebagai langkah proaktif menangani cabaran keterjaminan makanan yang semakin kompleks dan mencabar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dasar berkenaan digubal berasaskan pendekatan bersepadu yang berpaksikan bukti serta dipacu misi jelas ke arah memastikan sektor agromakanan negara kekal mampan, produktif dan berdaya saing.

Menurut beliau, dasar itu memberi tumpuan kepada beberapa teras utama termasuk peningkatan kecekapan dan produktiviti pengeluaran pertanian, kemampanan sistem agromakanan, pemantapan diplomasi makanan serantau, pemakanan sihat dan seimbang, selain pertumbuhan ekonomi yang inklusif.

Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan negara di Putrajaya. Turut sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadillah Yusof dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu. Gambar PMO.

“Pelaksanaan dasar ini turut akan diperkukuh dengan perundangan khusus bagi menyelaras dan menyeragamkan tindakan antara pelbagai kementerian serta agensi yang terlibat.

“Langkah ini penting untuk memperkukuh tadbir urus kerajaan dalam memastikan keberkesanan Dasar Keterjaminan Makanan Negara secara menyeluruh,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Anwar berkata, selaras dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sektor pertanian perlu digerakkan melalui pendekatan baharu yang lebih mampan, berdaya tahan dan berorientasikan teknologi bagi menjamin kelangsungan bekalan makanan negara.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara yang meneliti strategi serta hala tuju baharu bagi memperkukuh industri pertanian secara menyeluruh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button