Kerani syarikat pelancongan direman, disyaki tuntut bayaran hotel RM55,000 untuk diri sendiri
SEREMBAN – Seorang kerani wanita sebuah syarikat pelancongan di ibu negara direman selepas disyaki mengemukakan dokumen palsu berkaitan tuntutan bayaran kad kredit syarikat berjumlah kira-kira RM55,000 bagi tujuan peribadi.
Perintah reman tujuh hari bermula hari ini dikeluarkan oleh Majistret Fairuz Syuhada Amran di Mahkamah Majistret Seremban selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek yang berusia lingkungan 20-an ditahan kira-kira pukul 9.30 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut dari Mac 2023 hingga Februari 2024 dengan mengemukakan dokumen tuntutan bayaran kad kredit syarikat bagi tempahan hotel atas nama urusan rasmi namun digunakan untuk kepentingan peribadi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan butiran palsu dalam dokumen bagi tujuan memperdaya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












