JENAYAH & MAHKAMAH

Kertas siasatan anggota polis didakwa pukul pemuda diserah kepada AGC

SERDANG – Kertas siasatan mengenai kejadian seorang anggota polis didakwa memukul seorang pemuda di Banting pada bulan lalu sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad, kertas siasatan sudah diserahkan minggu lalu selepas ia dirujuk kepada Bukit Aman.

“Kita masih sedang menunggu arahan lanjut daripada Pejabat Peguam Negara berhubung kertas siasatan berkenaan.

“Saya memberi jaminan siasatan terhadap kes ini dijalankan secara telus,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pelupusan Barang Kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini, hari ini.

Laporan media pada 23 Dis lalu menyebut, polis menyiasat dakwaan seorang lelaki warga tempatan dipukul individu dipercayai anggota polis di sebuah rumah di Kampung Sungai Ingat, Banting.

Laporan itu yang memetik Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat Deputi Superintendan Mohd Sufian Amin sebagai berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa yang mendakwa menerima satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi tiga minit yang memaparkan anaknya ditampar oleh individu memperkenalkan diri sebagai polis.

Menurut laporan itu, anak pengadu ditampar beberapa kali dengan tujuan ingin mencari barang bukti dan bapa pengadu juga memaklumkan menyaksikan perkara itu berlaku.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button